SECARA umumnya, banyak negara di dunia mempunyai agenda keusahawanan.

Di negara maju, usahawan yang rata-ratanya dalam industri kecil dan sederhana adalah penjana ekonomi negara serta memberi peluang kepada kesamarataan dalam pengagihan kekayaan dan mencipta peluang pekerjaan yang baharu.

Malaysia tidak ketinggalan turut rancak dalam mempertaruhkan usaha untuk membangunkan lagi industri keusahawanan.

Kerajaan mahupun pihak swasta semakin aktif untuk memastikan usahawan-usahawan di Malaysia diberi peluang untuk berdaya saing dan memperkembangkan ekonomi mereka.

Lebih-lebih lagi dalam era Industri 4.0; komunikasi dan daya saing dipercepatkan dengan kuasa internet.

Rakyat Malaysia juga mendapat manfaat daripada kuasa ini menerusi penyebaran dan perkongsian informasi dalam masa yang singkat (walaupun tidak semua informasi itu tepat atau benar).

Dengan lebih daripada 25 juta pengguna internet aktif di Malaysia dan pengguna telefon bimbit di Malaysia mencecah lebih 140 peratus daripada jumlah penduduk di Malaysia, kuasa internet memang tidak dapat dinafikan dan revolusi disruptif ini akan terus berkembang.

Ekonomi internet telah memberikan peluang kepada anak-anak muda yang ternyata lebih mahir dalam kemahiran pekerjaan berasakan internet untuk menerokai peluang keusahawanan tech startup yang berbeza daripada keusahawanan konvensional.

Mereka berupaya menerokai pasaran baharu dengan pantas, mengumpul dana model daripada pelabur seluruh dunia dan membuka peluang pekerjaan baharu seperti saintis data, UX developers dan coders yang bukannya pekerjaan yang disediakan oleh konglomerat brick-and-mortar.

Syarikat-syarikat yang digelar ‘mikro-MNC’, seperti iFlix, Carsome, Lorry.com dan RunCloud kini telah berada dalam sejumlah besar pasaran dunia dalam masa tidak lebih dari lima tahun.

Ini merupakan sesuatu yang sukar dilakukan oleh syarikat konvensional sebelum ini.

Saya berharap agar syarikat-syarikat mikro-MNC ini terus berkembang dan menjadi pelapis untuk terus menerajui.

Beberapa keperluan penting (imperative) perlu ada sebagai prasayarat kepada pertumbuhan ekonomi internet ini:

1. Prasarana jalur lebar yang konsisten dan inklusif;
2. Ketersediaan dan aksesibiliti dana;
3. Tenaga kerja masa depan yang mahir dan relevan;
4. Komuniti startup yang erat;
5. Dan kemimpinan kerajaan dalam menyediakan bantuan dan polisi yang berkesan.

Sejujurnya, Malaysia telah menyokong kuat usaha transformasi ekonomi negara untuk memperkasakan ekonomi digital atau dulunya dikenali sebagai ICT.

Sejak tertubuhnya Multimedia Super Corridor sekitar 22 tahun yang dulu, beribu syarikat teknologi telah mendapat manfaat daripada insentif-insentif kerajaan dalam bentuk monetari atau fiskal untuk menambah baik kerja penyelidikan, penkomersialan dan perkembangan ekosistem.

Saya turut berharap kesinambungan pengkhususan ekonomi digital ini diteruskan oleh kerajaan Malaysia baru.

Sebagai seorang yang telah bergelumang dalam industri digital ini hampir 20 tahun, saya amat berbangga agenda ini masih menjadi keutamaan kerajaan Malaysia kini.

Malah, saya melihat semakin banyak kementerian dan agensi kerajaan dengan terbuka menzahirkan hasrat untuk melaksanakan agenda tech startup ini.

Tidak banyak negara di dunia ini yang mana kerajaan mereka begitu bersungguh-sungguh untuk memberikan bantuan.

Syabas Malaysia dalam menyokong keperluan ke-5.

Tetapi, adakah bantuan yang berterusan ini benar-benar dapat memperkembangkan ekonomi digital Malaysia?

Atau dengan tumpuan yang berlebihan ini, sebaliknya melemaskan tech startup itu sendiri?

Yang ‘bijak’ pula, akan menyalah-gunakan bantuan yang berlebihan ini dengan menjadi grantrepreneur; menyedut bantuan dari agensi-agensi kerajaan yang rata-rata tidak berkomunikasi sesama sendiri dan berlakunya pertindihan.

Sememangnya, it is sexy to have an agenda or a charter of tech startups growth.

MDEC, MaGIC, Cradle, MAVCAP, Platcom Ventures, MTDC, SME Corp, Agensi Inovasi Malaysia, Cyberview, MED, KKMM, MESTECC, MITI dan banyak lagi – semuanya mempunyai agenda seksi ini.

Tapi apakah dengan melancarkan program-program taktikal seperti hackathon, sesi pitching, seminar dan konferensi (saya sudah terlepas hitung berapa banyak acara sebegini dilakukan) dan yang lain-lain; benar-benar dapat membantu usahawan-usahawan kita? Atau kita ‘syok sendiri’ sahaja?

Kerajaan mengusulkan penyelarasan ataupun penyatuan badan-badan kerajaan yang didapati bertindih dari segi peranan dan tanggungjawab.

Dalam pandangan saya, penyelarasan itu perlu dilaksanakan. Penyatuan itu sukar dan rumit, lebih-lebih lagi melibatkan tenaga kerja yang sedia ada.

Tetapi, ia bukanlah perkara yang mustahil untuk dicapai.

Saranan saya, penyelarasan harus dimulakan dari pihak teratas di dalam kerajaan.

Pemantauan yang terperinci dari kepimpinan tertinggi juga penting dan harus diteliti agar pertindihan dapat dielakkan.

Beberapa usaha penyelarasan telah dilaksanakan sebelum ini, namun oleh kerana tiada pihak yang benar-benar mahukan penyelarasan ini berlaku, dan penetapan KPI yang berasingan mengikut kementerian; usaha tersebut terhenti sekerat jalan.

Sudah mungkin tiba masanya untuk kita memikirkan Malaysia first, organizations second.

Buang ego jauh-jauh dan berlumba sesama sendiri kerana perlumbaan sebenar adalah di antara negara-negara di dunia ini yang mempunyai agenda tech startup.

Sudah tiba masanya kita mempunyai unicorn yang lahir dari Malaysia. Dahulu sudah hampir berjaya, tetapi telah jatuh di tangan lawan.

Artikel ini adalah buah fikiran jujur saya dan tidak mewakili organisasi saya bekerja.

Di MDEC, tempat saya mencari rezeki, falsafah ini harus dipertingkatkan.

Seperkara lagi, sebagai abang atau kakak sulung dalam ekonomi digital, yang lebih berpengalaman seharusnya sekali-sekala mengalah dan mengambil kira buah fikiran bernas daripada pihak yang lain.

Itulah ciri kepimpinan yang terpuji.

Semoga agenda seksi ini dapat memberi manfaat yang lebih besar kepada ekonomi negara.



* Norhizam Kadir ialah Naib Presiden, Pembangunan Ekosistem, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.