Tebus Baucar Perlindungan Tenang (PTV) bermula 1 Januari - Tengku Zafrul

Harits Asyraf Hasnan
Disember 23, 2021 17:19 MYT
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata penebusan itu boleh dilakukan dengan syarikat insurans dan pengendali takaful yang berdaftar. - Foto Kementerian Kewangan
KUALA LUMPUR: Golongan B40 boleh menebus Baucar Perlindungan Tenang (PTV) bermula 1 Januari tahun depan.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata penebusan itu boleh dilakukan dengan syarikat insurans dan pengendali takaful yang berdaftar.
"Semakan kelayakan untuk menuntut baucar ini boleh dibuat dengan melayari www.myPTV.my atau mengunjungi mana-mana syarikat insurans atau pengendali takaful yang menawarkan produk Perlindungan Tenang.
"Bagi pemohon yang layak, penebusan baucar boleh dibuat dengan melayari www.mycoverage.my atau melalui pembelian terus di kaunter.
"Produk Perlindungan Tenang merangkumi pelbagai jenis perlindungan termasuk perlindungan untuk insurans hayat, penyakit kritikal, hospitalisasi, hilang upaya, kebakaran dan kerosakan isi rumah akibat banjir," katanya menerusi Laporan Laksana Ke-80 yang dikeluarkan hari ini.
Menerusi Bajet 2022, Baucar Perlindungan Tenang ini telah ditambah baik dan ditingkatkan nilai baucar kepada RM75 untuk tahun 2022.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata Skim mySalam bayaran manfaat mySalam bagi hospitalisasi dan penyakit kritikal telah meningkat kepada RM76.9 juta atau lebih enam kali ganda pada tahun 2020 dan seterusnya naik kepada RM120.9 juta untuk tempoh 11 bulan sehingga November 2021.
"Selain itu, mySalam juga telah menyalurkan RM119.6 juta sehingga November 2021 untuk tuntutan berkaitan COVID-19.
"Di dalam Bajet 2022, skim mySalam akan diperluas sehingga dua kali ganda bagi merangkumi lebih daripada 9 juta individu," katanya.
Jelasnya, mySalam juga telah ditambah baik dengan peruntukan RM50 juta bagi bantuan peranti perubatan kepada B40.
#Baucar Perlindungan Tenang #Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz #Laporan LAKSANA #Skim mySalam
;