Tebuan kembali 'huni' rumah
Astro Awani
Januari 8, 2018 13:38 MYT
Januari 8, 2018 13:38 MYT
Tidak menyangka dua kali "berkongsi" rumah dengan tebuan.
Tujuh beranak yang tinggal di Kampung Tanjung Luar, Pedu di sini menanggung derita apabila hampir setiap hari disengat serangga berbisa itu, sejak seminggu lalu.
Kejadian terbaharu melibatkan kanak-kanak yang berusia setahun, Mohamad Afzal Al Iman yang disengat di tangan dan kaki kiri.
Nenak mangsa, Sopiah Jaafar, 53 tahun, berkata mereka sekeluarga pernah disengat serangga itu sehingga tidak berani masuk ke dalam rumah.
Katanya, mereka menyedari ada sarang tebuan di dalam siling rumah dua tingkat itu kira-kira seminggu lalu.
Mereka bertindak memanggil khidmat pasukan Bomba dan Penyelamat untuk membuang sarang berkenaan.
Namun, selepas lima hari, tebuan kembali membuat sarang di tempat sama.
"Baru ni (saya) kena sengat. Kelmarin kena sengat atas kepala. Haritu cucu sulung kena sengat di peha. Lepas tu seorang lagi cucu kena sengat di tangan. Sebelum tu kena di kaki.
"Hari-hari kena (sengat), tak biasa tak kena. Kami tak berani dah duduk dalam rumah. Siang hari duduk di luar. Masuk bila hendak sembahyang sahaja," kata Sopiah.
Bimbang berlaku kejadian tidak diingini, Sopiah bertindak menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Padang Terap untuk bantuan.
Ketua operasinya, Koperal Abdul Satar Abdullah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 10.30 pagi. Empat anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.
Pihak APM berdepan kesukaran kerana sarang tebuan sebelum ini telah dibuang dan tebuan hanya menghurungi di atas siling untuk membuat sarang baru.
Racun serangga digunakan bagi menghalau dan memusnahkan bekas sarang lama serangga itu.
"Kalau sarang dalam rumah, memang susah. Ruangan sempit dan kawasan untuk operasi pula terhad. Lagi satu, kita khuatiri saki-baki ataupun haiwan serangga yang kita musnah ni jatuh ke bawah (rumah), kemungkinan kita tak nampak. Ia membahayakan orang awam serta tuan rumah sendiri," kata Abdul Satar.
Menurutnya, ini merupakan kes kedua melibatkan tebuan dalam tempoh seminggu.
Abdul Satar juga menasihati orang ramai supaya tidak bertindak sendirian dan memanggil APM untuk bantuan.