Tebing sungai runtuh, projek loji rawatan air tenggelam 19 meter

Umavathi Ramayah
September 7, 2024 21:41 MYT
Pihak pengurusan juga diminta menghubungi Majlis Perbandaran Sepang (MPS) dan JKR bagi memastikan kawasan runtuhan itu selamat sepenuhnya sebelum kerja pembinaan diteruskan semula. - Foto JBPM
SEPANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengarahkan kerja-kerja pembinaan Projek Loji Rawatan Air berhampiran Taman Mas Puchong, di sini dihentikan serta-merta susulan runtuhan tebing sungai, pada petang Sabtu.
Kejadian kira-kira pukul 4.14 petang itu menyebabkan kawasan pembinaan itu tenggelam sedalam 19 meter.
Namun kejadian itu tidak melibatkan mana-mana mangsa.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor,Ahmad Mukhlis Mokhtar memberitahu, pihak pengurusan juga diminta menghubungi Majlis Perbandaran Sepang (MPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan kawasan runtuhan itu selamat sepenuhnya sebelum kerja pembinaan diteruskan semula.
"Kita terima panggilan kecemasan pada pukul 4.14 petang dan jentera pertama tiba di lokasi kejadian pada pukul 4.48 petang," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.
Ahmad Mukhlis memberitahu, operasi tamat sepenuhnya pada pukul 6.10 petang
#loji rawatan air #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #Jabatan Kerja Raya #Sepang
;