Tebing runtuh, dua kereta menggelongsor ke dalam sungai

Dewi Nur Harasha Alias
April 27, 2021 22:28 MYT
Wan Seng berkata, dia terkejut sebaik dimaklumkan berlaku runtuhan tebing tanah yang menyebabkan keretanya turut menggelongsor ke dalam sungai berhampiran. - Gambar/ Astro AWANI
GEORGE TOWN: Dua kereta yang diparkir di tepi jalan di Paya Terubong, Ayer Itam, di sini, menggelongsor ke dalam sungai akibat tebing runtuh di kawasan itu, pada Selasa.
Bagaimanapun kejadian jam 3 petang itu tidak melibatkan kemalangan jiwa dan tidak menjejaskan rumah penduduk berdekatan.
Seorang pemilik kereta , Ong Wan Seng berkata, dia terkejut sebaik dimaklumkan berlaku runtuhan tebing tempat dia meletakkan kenderaannya.
Jelasnya, ketika kejadian dia sedang bekerja di sebuah kedai kopi yang terletak kira-kira 200 meter dari tempat kejadian.
Menurutnya, sejak bekerja di kedai itu, dia sering meletakkan keretanya di situ dan tidak menyangka kejadian sedemikian berlaku hari ini.
"Saya duduk di dalam, tiba-tiba ada orang jerit dan memberitahu kereta saya jatuh ke dalam sungai. Saya tidak sangka jadi macam ini," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Itam Joseph Ng Soon Siang berkata, beliau bersama Jurutera Geoteknikal dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah membuat tinjauan bagi memastikan tahap keselamatan kawasan berkenaan.
#tebing runtuh #tanah runtuh #kereta menggelongsor #dalam sungai #paya terubong #Ayer Itam #pulau pinang
;