Tebing runtuh di perumahan mewah Cyberjaya, PBT diarah segera baik pulih
Bernama
Mei 16, 2024 15:15 MYT
Mei 16, 2024 15:15 MYT
CYBERJAYA: Majlis Perbandaran Sepang diarah menyegerakan kerja-kerja baik pulih runtuhan tebing di kawasan perumahan mewah Cassia Garden Residence di sini yang meresahkan kira-kira 1,000 penduduk sekitar kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata runtuhan dengan kedalaman kira-kira lapan meter itu kini bersifat aktif, dan kerja-kerja baik pulih termasuk memasang jeriji besi di kawasan itu akan bermula hari ini bagi mengelak runtuhan susulan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepang bagaimanapun berkata ketika ini tiada keperluan untuk penduduk di kawasan perumahan itu untuk pindah ke tempat lain.
"Majlis Perbandaran Sepang dengan pemantauan KPKT akan mula buat kerja (baik pulih) hari ini, uruskan dengan kadar segera, sebab kita tengok ada runtuhan dan rekahan baharu, agak aktif, jadi tindakan kena diambil hari ini juga," katanya kepada media ketika membuat lawatan ke kawasan berkenaan di sini hari ini.
Sebelum ini kira-kira 1,000 penduduk di perumahan Cassia Garden Residence dilaporkan bimbang dengan runtuhan tebing di kawasan berhampiran pintu masuk utama kawasan perumahan mereka, yang dilihat berisiko mengancam nyawa.
Perumahan mewah Cassia yang menempatkan 220 unit kediaman itu mula diduduki sejak 13 tahun lepas, dan runtuhan tebing yang dikesan hampir sebulan lepas itu kini telah membentuk umpama kawah sedalam lapan hingga 10 meter,
"Untuk peringkat awal Majlis Perbandaran Sepang akan memasang penghadang besi (jeriji) bagi mengelak kejadian tanah runtuh berterusan dan seterusnya ia disususli dengan beberapa tindakan, yang sebenarnya telahpun disusun oleh pihak Majlis.
Sementara itu seorang penghuni Cassia Garden Residence Mohd Anizan Mohd Ali, 42, berkata beliau bersyukur dengan jaminan yang diberikan Timbalan Menteri itu dan berharap kerja-kerja baik pulih akan berjalan lancar seperti yang dirancang.
"Kalau ikutkan tanah runtuh ini, pada 25 April dan pada 26 April kita telah hantar laporan kepada Majlis Perbandaran Sepang, dan kita juga ada buat laporan polis serta pemaju.
"Semasa laporan dibuat pagar kawasan itu tak runtuh lagi, jadi lepas seminggu kemudian pagar runtuh dan sekarang ini keadaan jadi seperti ini, tidak jauh dari jalan besar (pintu utama)," katanya.
Seorang persara swasta Roesman Uthman, 62, pula berkata rumah beliau terletak berhadapan dengan runtuhan tebing itu dan hampir setiap malam beliau tidak dapat melelapkan matanya kerana bimbang dengan kemungkinan berlaku kejasian tanah runtuh.
"Hari-hari saya pantau, saya tengok berapa jauh, dan saya beritahu (penduduk) berapa panjang yang tinggal sebelum runtuhan sampai ke jalan raya.. dan bila saya amati ini adalah culvert (pembentung) yang terakhir, kalau ia jatuh, ia akan melibatkan jalan raya.
"(Jarak) daripada ke jalan ada 10 kaki, dan daripada culvert ke cerun ada sekarang dalam 10 kaki, lebih kurang 20 kaki yang kita nak pantau supaya pergerakan itu tidak teruk lagi. Masalahnya sekarang hujan, kita tak boleh buat apa-apa, bila air banyak, melimpah, ia akan menghakiskan tanah di bawah culvert itu," katanya.
-- BERNAMA