Teater MERdEKAnya KITA dibatalkan, ancaman kepada negara?

Astro Awani
Ogos 29, 2013 08:00 MYT
Pementasan teater yang bertajuk MERdEKAnya KITA telah dilarang daripada dipentaskan kerana dianggap akan memberikan ancaman kepada negara dan menyentuh sensitiviti masyarakat di Malaysia.
Teater itu sepatutnya dipentaskan pada 29 dan 30 Ogos di Damansara Performing Arts Centre (DPAC) pukul 8.30 malam.
Diarahkan oleh penerima Pingat Budaya Singapura, Atin Amat, teater itu dibintangi oleh pelakon teater Singapura, Anwar Hadi Ramli, Ridwan Ramli, Dalifah Shahril dan Suhaila Md Sanif.
Berita mengejut itu diterima penganjur teater tersebut, Rumah Anak Teater pada Rabu (semalam) menerusi sepucuk surat yang memaklumkan bahawa Jawatankuasa Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL) Bil. 35/2013 tidak dapat mempertimbangkan permohonan mementaskan teater tersebut.
Dalam surat yang sama, JK-PUSPAL berpandangan bahawa pementasan ini dikhuatiri boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Malaysia terutamanya dari aspek politik dan sosial.
Surat tersebut ditandatangani oleh Azi Azira Rahimi, bagi pihak Pengerusi JK-PUSPAL, Unit Keurusetiaan JK-PUSPAL, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Wakil Rumah Anak Teater, Faisal Mustaffa yang ditemui sewaktu sidang media berkata, “Berdasarkan kesan balas yang diterima selepas permohonan rasmi kami diterima oleh pihak PUSPAL, pementasan ini dilabelkan sebagai ancaman kepada negara dan boleh menyentuh sensitiviti masyarakat di negara ini. Oleh itu, dengan sedih kami ingin memaklumkan bahawa pementasan ini terpaksa dibatalkan.”
“Namun, pagi tadi (Rabu) kami semua telah ke Putrajaya untuk bertemu dengan pihak PUSPAL untuk proses rayuan. Kesemua pelakon termasuk pengarahnya telah dibawa bertemu dengan pihak PUSPAL untuk meyakinkan mereka tentang kandungan pementasan ini.
Tambahnya lagi, keputusan rayuan hanya akan diketahui pada hari esok (Khamis).
“Buat masa ini, penjualan tiket masih berjalan seperti biasa. Apa sahaja keputusan yang diterima akan diberitahu kepada pembeli tiket dan kami semua tetap menantikan kehadiran mereka di sini (DPAC).” jelasnya.
MERdEKAnya KITA adalah sebuah persembahan teater yang cuba mengupas erti kemerdekaan bagi para penduduk rantau ini. Menukil erti kemerdekaan bagi orang kebanyakan, bukan dari sudut pandangan ahli-ahli politik.
Para penonton akan dibawa bersama oleh para pelakon ke beberapa zaman penting di rantau ini. Mereka akan melihat bagaimana rakyat biasa di zaman tersebut berbincang, berpendapat, berpidato tentang erti kemerdekaan dalam hidup mereka.
Projek teater kembara itu turut menerima dana kewangan daripada National Arts Council, Singapore. Sebelum di Kuala Lumpur, kumpulan tersebut pernah mementaskan karya yang sama di Singapura dan Indonesia tanpa halangan.
Sementara itu, Atin yang kecewa dengan pembatalan tersebut terkejut kerana naskhah teater itu dihasilkan dengan tujuan untuk memperkenalkan Teater Kami ke negara jiran khususnya di sini.
“Menerusi teater ini, kami berharap dapat menjalinkan kerjasama erat dalam bidang seni antara dua negara. Namun, kami terkejut kerana perkara-perkara yang dikatakan sensitif terpampang secara meluas di buku-buku sejarah, filem-filem Melayu lama dan bebas dibaca dan ditayangkan kepada umum.”
“Kami kecewa dan sedih tetapi kami terus bersikap positif dan akan melakukan yang terbaik. Ini adalah kehidupan yang perlu kami terima dan tidak akan patah semangat.”
“Sekiranya pementasan ini dikatakan mahu mencetuskan propaganda, pastinya sewaktu pementasannya di Singapura lagi ia sudah diharamkan kerana penguatkuasaan di sana lebih ketat dan tegas. Begitu juga sewaktu di Jakarta. Cuma saya hairan kenapa di sini, saya gagal meyakinkan mereka bahawa pementasan ini tidak berniat untuk menimbulkan masalah di sini.”
Harga tiket untuk menyaksikan pementasan tersebut berharga RM30 dan RM40.
#merdekanya kita #Rumah Anak Teater #teater #teater kami
;