TDM pantau warga bermasalah elak jejas penugasan - PTD

Bernama
Oktober 23, 2021 08:15 MYT
Zamrose berkata nasihat dan sesi bimbingan kaunseling juga dijalankan bagi memastikan pegawai dan anggota TDM sentiasa berada dalam keadaan baik sama ada dari aspek fizikal, mental dan rohaniah. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tentera Darat Malaysia (TDM) akan memantau setiap warganya yang mempunyai pelbagai masalah bagi mengelakkan penugasan terjejas.
Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata nasihat dan sesi bimbingan kaunseling juga dijalankan bagi memastikan pegawai dan anggota TDM sentiasa berada dalam keadaan baik sama ada dari aspek fizikal, mental dan rohaniah.
Beliau berkata masalah kewangan antara sebahagian sebab berlakunya pelanggaran salah laku yang dipercayai berpunca daripada penglibatan dalam kegiatan dadah dan judi dalam talian.
"Sesi kaunseling akan dijalankan terhadap mereka yang dipercayai terlibat dadah.
"Namun, bagi mereka yang dipercayai terlibat dengan judi dalam talian akan diberikan nasihat agar meninggalkan kegiatan tersebut kerana ia boleh memudaratkan hubungan keluarga dan kerjaya," katanya pada Jumaat.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Desatera Sehati Box merangkumi barang keperluan kepada golongan B40 dalam kalangan anggota tentera di Dewan Dato Jamil Ahmad, Kem Perdana Sungai Besi, di sini.
Zamrose berkata tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai dan anggota yang didapati terlibat dengan kegiatan judi dalam talian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu anggota tentera yang mempunyai masalah hingga bertindak membunuh diri.
Pada majlis itu, sebanyak 150 anggota tentera darat tergolong dalam golongan B40 menerima sumbangan tersebut terdiri daripada barang keperluan asas seperti beras, gula, minyak masak dan sabun bernilai RM120.
Program sumbangan Desatera Sehati Box ini adalah satu bentuk pengiktirafan ke atas segala sumbangan warga TDM dalam usaha memerangi penularan wabak COVID-19.
Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat Lt Jen Datuk Mohammad Ab Rahman dan Pengerusi Desatera Sdn Bhd Jen (B) Tan Sri Azumi Mohamed.
-- BERNAMA
#TDM #anggota bermasalah #tentera darat #Zamrose Mohd Zain
;