TDM mulakan siasatan terhadap dakwaan pukul anggota di Kem Resah

Bernama
Mac 11, 2024 22:08 MYT
Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata siasatan telus dan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian terhadap mangsa. - Bernama
KUALA LUMPUR: Tentera Darat Malaysia (TDM) telah menerima laporan berhubung dakwaan kes pukul melibatkan seorang anggota yang bertugas di bahagian semboyan Kem Resah, Seremban, Negeri Sembilan, Jumaat lepas.
Panglima Tentera Darat Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata siasatan telus dan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian yang berlaku terhadap mangsa berumur 22 tahun, dari Sungai Petani, Kedah itu.
"Saya baru dimaklumkan tentang perkara ini. Perkara masih dalam siasatan awal," katanya kepada Bernama ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp hari ini.
Terdahulu, tular di beberapa media sosial satu laporan polis serta beberapa keping gambar memaparkan kesan lebam pada bahagian belakang bahu dan siku mangsa.
Mangsa dilaporkan bertindak melarikan diri ke kampung keluarganya di Sungai Petani kerana tidak tahan dipukul oleh penyelianya.
Mangsa mengadu perkara itu kepada keluarga sebelum abang kembarnya membuat laporan polis atas faktor keselamatan mangsa.
-- BERNAMA
#Tentera Darat Malaysia #kes pukul #kem resah #siasatan
;