TDM bina jambatan sementara ke SJSM
Bernama
Mac 13, 2022 04:57 MYT
Mac 13, 2022 04:57 MYT
KUALA TERENGGANU: Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi Projek Jiwa Murni telah membina jambatan sementara berhampiran Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud (SJSM) di Kampung Jenagor dekat Hulu Terengganu bagi menggantikan jambatan asal yang runtuh akibat banjir bulan lepas.
Panglima 2 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Muhammad Huzaimi Sabri berkata jambatan 'Compact Bailey 200' sepanjang 30 meter itu sangat penting sebagai laluan keluar masuk pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) ke SJSM yang kini terpaksa menggunakan bot sebagai alternatif.
"Jambatan ini telah mula dipasang semalam dan dijangka siap sepenuhnya esok (14 Mac).
"Tanggungjawab pemasangan jambatan ini diberikan kepada Markas Rejimen Askar Jurutera Diraja (MK RAJD) 2 Div yang melibatkan lima pegawai dan 64 anggota dari 7 SKN RAJD Kem Desa Pahlawan, Kota Bharu dengan dibantu oleh 1 SKN RAJD dan 91 Rejimen Bantuan RAJD," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Katanya TDM sentiasa komited dalam menghulurkan bantuan kepada rakyat, menepati tonggak kelima perintah ulung Panglima Tentera Darat iaitu meningkatkan hubungan dengan orang awam.
"Terima kasih kepada kerajaan negeri, semua agensi kerajaan dan TNB yang terlibat secara langsung dalam membantu pemasangan jambatan ini," katanya.
-- BERNAMA