TCS Group beri kerjasama penuh siasat punca keretakan projek J Satine

Sinar Harian
November 11, 2024 12:00 MYT
TCS Group bekerjasama rapat dengan pemaju serta perunding untuk menentukan punca sebenar keretakan membabitkan projek pembangunan bercampur J Satine di Wangsa Maju.
SHAH ALAM: Proses siasatan sedang dijalankan berhubung isu keretakan membabitkan projek pembangunan bercampur J Satine oleh syarikat pembinaan bangunan dan infrastruktur pembekal perkhidmatan, TCS Group Holdings Berhad (TCS) selaku kontraktor utama melalui anak syarikat milik penuhnya, TCS Construction Sdn Bhd (TCSCSB).
Pengarah urusannya, Datuk Tee Chai Seng berkata, pihaknya amat prihatin terhadap kejadian itu dan sedang bekerjasama rapat dengan pemaju serta perunding untuk menentukan punca sebenar ia terjadi.
"Syukur, tiada kecederaan atau korban akibat insiden ini. Kami ingin menegaskan bahawa kesihatan dan keselamatan sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap projek kami.
"Kami ingin memberi jaminan kepada semua pihak berkepentingan bahawa kami telah mematuhi dengan ketat semua piawaian dan protokol kesihatan serta keselamatan sepanjang proses pembinaan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
BACA: Tular: Tapak pembinaaan kondominium J Satine diarah henti kerja - DBKL
Sebelum ini media melaporkan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan arahan henti kerja terhadap sebuah tapak pembinaan di Wangsa Maju di sini selepas terdapat kesan keretakan struktur bangunan.
DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya telah menerima aduan daripada penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wangsa Sari berkaitan satu letupan telah berlaku di tapak pembinaan tersebut pada Khamis lalu.
Menurutnya, kejadian dipercayai disebabkan kegagalan struktur di Blok C dalam kawasan projek pembangunan tersebut.
Mengulas lanjut, Chai Seng memaklumkan, susulan daripada kejadian tersebut, pihaknya memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa yang berkaitan dalam melakukan siasatan terhadap punca kejadian itu.
Ujarnya, penemuan awal mendapati bahawa faktor retakan bangunan yang berlaku bukan disebabkan oleh kesilapan daripada pihaknya.
"Bagi setiap projek kami, kami komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua yang terlibat serta untuk menyerahkan projek yang memenuhi piawaian tertinggi dari segi kualiti dan integriti
"Kami amat menghargai kerjasama orang awam untuk berhenti berkongsi sebarang video atau imej tidak benar dan membuat spekulasi tentang maklumat yang tidak disahkan berkaitan dengan pembangunan projek ini," jelasnya. - Sinar Harian
#J Satine #projek kondominium #punca keretakan #Tular
;