TCA: Menteri Pertahanan Malaysia, Indonesia, Filipina bertemu 27 Januari

Bernama
Januari 14, 2022 15:36 MYT
Tiga negara akan berbincang isu mengukuhkan TCA untuk meningkatkan kawalan keselamatan di Laut Sulu, Sulawesi serta Pantai Timur Sabah.
TAWAU: Menteri Pertahanan dari tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Filipina akan bertemu pada 27 Januari ini bagi berbincang mengukuhkan Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) untuk meningkatkan kawalan keselamatan di Laut Sulu, Sulawesi serta Pantai Timur Sabah.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau sebelum ini telah menyuarakan hasrat untuk mengukuhkan TCA melibatkan kerjasama angkatan tentera negara tersebut kepada rakan sejawatnya di Indonesia dan Filipina.
"Mereka telah menyatakan persetujuan dan sehubungan itu satu pertemuan peringkat Menteri Pertahanan Malaysia, Indonesia dan Filipina akan diadakan pada 27 Januari ini bagi membincangkan perancangan mengenainya.
"Hasrat meningkatkan tahap keselamatan di kawasan itu turut disuarakan Ketua Menteri Sabah (Datuk Hajiji Noor) dalam pertemuan kami semalam, dan hasrat beliau ini akan saya sampaikan semasa pertemuan bersama Menteri Pertahanan Filipina dan Indonesia kelak," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas melawat Kem Kukusan di sini hari ini.
Beliau berkata dalam usaha meningkatkan keselamatan di pantai timur Sabah, pembinaan kem baharu Tentera Darat di Felda Sahabat, Lahad Datu membabitkan peruntukan RM646.15 juta akan dimulakan pada tahun ini.
"Pembangunan kem baharu ini akan memindahkan satu batalion infantri dan unit-unit 13 Briged sebagai usaha meningkatkan lagi tahap keupayaan dan kesiapsiagaan tentera darat dalam menangani ancaman semasa," katanya.
Dalam pada itu, Hishammuddin berkata sepanjang tahun lepas operasi keselamatan di pantai timur Sabah berjalan lancar dan berupaya menangani ancaman yang menjadi perhatian termasuk penculikan untuk wang tebusan, rompakan laut, penyeludupan, kemasukan pendatang haram dan militian.
"Menerusi operasi tahun lepas dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya merampas dadah bernilai RM3.34 juta, rokok seludup dan barangan terkawal (RM1.38 juta), tangkapan 154 pendatang haram bersama 393 bot, termasuk tiada rekod penculikan baharu di pantai timur Sabah," katanya.
Selain itu, katanya terdapat lapan batalion menjaga keselamatan Pantai Timur Sabah ketika ini di mana empat batalion beroperasi dan empat batalion berpangkalan yang siap sedia untuk menangani sebarang kemungkinan ancaman.
"Bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kami telah mengatur gerak 2,419 orang merangkumi pegawai dan anggota ditempatkan di Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar dan KD Sri Semporna, di samping TLDM juga bersedia mengatur gerak aset termasuk empat unit Patrol Vessel, dua unit Fast Attack Craft, dua unit kapal selam bagi mempertahankan kedaulatan perairan Sabah.
"Bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), pula kami menempatkan seramai 1,283 orang merangkumi pegawai dan anggota yang berpangkalan di Pulau Labuan dan sentiasa bersiap siaga diatur gerak bersama sembilan unit pesawat pejuang Hawk, empat unit Helikopter EC 725 termasuk seunit C130," katanya.
Beliau berkata tiada istilah selesa serta berpuas hati kerana banyak lagi perlu dilaksanakan demi keselamatan negeri dan rakyat Sabah, meskipun ketika ini terdapat lebih 8,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia yang berkeupayaan melaksanakan penugasan pada setiap masa di negeri ini.
-- BERNAMA
#TCA #Laut Sulu #Indonesia #Filipina #Sabah
;