TBWA KL rangkul Agensi Terbaik Anugerah Kancil 2013

Wan Syamsul Amly
November 8, 2013 07:43 MYT
Syarikat pengiklanan kreatif, TBWA Kuala Lumpur memenangi anugerah "Agensi Terbaik Tahun Ini" di Anugerah Kancil 2013 yang dianjurkan Persatuan Ejen Pengiklanan Bertauliah (4As).
Secara keseluruhannya TBWA Kuala Lumpur memenangi enam perak, 14 gangsa dan 25 kepujian untuk memenangi anugerah berkenaan.
Digi Telecomunications Sdn.Bhd. pula dipilih sebagai "Pengiklan Terbaik Tahun Ini" sementara pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Penerbitan Star, Datuk Seri Wong Chun Wai dan bekas Pengerusi Lowe Malaysia, Khairudin Rahim memenangi Anugerah Pergerusi.
Sementara itu, Presiden 4As, Datuk Johnny Mun berkata penganjuran anugerah berkenaan dapat menyuntik lebih banyak syarikat pengiklanan negara untuk menghasilkan karya bermutu.
"Ia galakan kepada banyak syarikat pengiklanan negara untuk mencipta trend baru selain menggalakkan lagi industri ini.
"Peningkatan 20 peratus penyertaan berbanding tahun sebelumnya tanda banyak agensi pengiklanan negara menghala tahap tertinggi dalam status tersendiri," ujarnya.
4As yang ditubuhkan pada 1960an diwujudkan untuk menggalakkan dunia pengiklanan negara selain mewakili industri berkenaan.
Anugerah Kancil 2013 meliputi karya dalam kategori filem, radio, cetakan, maya, rekaan, luar, integrasi, jualan, kraf dan media.
Ia merupakan anugerah kepada individu atau organisasi yang banyak memberi sumbangan kepada sektor pengiklanan di negara ini.
Astro merupakan salah satu daripada syarikat penaja Anugerah Kancil 2013.
#2013 #Anugerah Kancil #TBWA KL
;