TBS sesak, orang ramai mula balik kampung

Sinar Harian
Mei 26, 2019 08:49 MYT
Suasana terminal tersebut mulai sesak bagaimanapun masih terkawal dan urusan pembelian tiket berjalan lancar. - Foto BERNAMA
Berbaki lebih kurang dua minggu lagi untuk umat Islam menyambut Aidilfitri, orang ramai sudah mula meninggalkan ibu kota untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.
Tinjauan Sinar Harian di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Bandar Tasik Selatan di sini semalam mendapati suasana terminal tersebut mulai sesak bagaimanapun masih terkawal dan urusan pembelian tiket berjalan lancar.
Kesempatan cuti sekolah pertengahan tahun selama 16 hari dan cuti semester institusi pengajian tinggi (IPT) dua minggu dimanfaatkan orang ramai sebaik mungkin untuk pulang ke kampung halaman lebih awal bagi berpuasa dan menyambut persiapan hari raya bersama keluarga.
Siti Hahwani Sapri, 37 tahun, dari Bandar Tun Razak Pahang bersama tiga anaknya memanfaatkan cuti sekolah yang panjang kali ini untuk pulang awal ke kampung di Beruas, Perak.
“Saya bawa anak-anak pulang lebih awal untuk berjumpa datuk dan nenek mereka kerana sekarang ini cuti sekolah, dapatlah meluangkan masa lebih lama di sana. Tiket bas ini saya beli dah lama menerusi penjualan atas talian sebab takut habis,”
“Kami dari Bandar Tun Razak sampai di TBS awal tengahari tadi (semalam). Sekarang ini sedang tunggu untuk bas seterusnya menuju Beruas yang dijangka 6.30 petang ini (semalam)," katanya yang teruja untuk pulang kampung.
Anuar Ismail, 21 tahun, yang merupakan siswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam berkata, cuti semester dua minggu kali lebih menyenangkan perjalanannya untuk pulang ke kampung halamannya di Melaka kerana tidak sesak seperti tahun-tahun sebelum ini.
“Saya lega kali ini cuti semester sebelum raya jadi kami tidak kelam-kabut. Lepas saja selesai peperiksaan terus balik kampung,” katanya.
Sementara itu, tinjauan rambang di kaunter-kaunter tiket mendapati tiket ke Pantai Timur terutamanya ke Kelantan paling laris. Malah, jadual perjalanan awal Jun juga dikatakan sangat terhad.
Bagaimanapun, petugas di kaunter tiket memberitahu, perjalanan ke utara tanah air masih banyak dan boleh dibeli sama ada di kaunter mahupun atas talian.
Daripada aspek keselamatan pula, polis bantuan di TBS memaklumkan, ia dikawal rapi dan kesesakan yang dijangka lebih kritikal minggu depan akan ditangani dengan baik.
Berdasarkan pemerhatian, TBS menyediakan puluhan kaunter tiket dan juga beberapa mesin tiket layan diri bagi memudahkan orang ramai dan langkah berkesan untuk mengurangkan kesesakan terutamanya menjelang hari raya.
#Bandar Tasik Selatan #cuti sekolah #Ibu Kota #kampung #Siti Hahwani Sapri #TBS
;