Taylor's University tuan rumah majlis penutup Kem Latihan Kesihatan Qigong China-ASEAN 2023
Faida Rahim
November 30, 2023 16:19 MYT
November 30, 2023 16:19 MYT
KUALA LUMPUR: Taylor's University menjadi tuan rumah majlis penutup Kem Latihan Kesihatan Qigong China-ASEAN 2023 sempena sambutan kerjasama antarabangsa dan pertukaran budaya pada Ahad lalu.
Dianjurkan oleh Qigong Management Centre of The General Administration of Sport of China, Kem Latihan Kesihatan Qigong China-ASEAN 2023 merupakan inisiatif yang merangkumi aktiviti dalam dan luar talian yang dilaksanakan Persatuan Kecergasan Qigong China-ASEAN.
Ahli Parlimen Subang, Wong Chen turut memuji pengajuran inisiatif ini serta menyifatkan Kem Latihan Kesihatan Qigong China-ASEAN 2023 sebagai jambatan hubungan budaya di peringkat serantau.
"Melalui inisiatif seperti inilah kita dapat mewujudkan dunia yang saling berhubung dan memahami serta memupuk komuniti global yang lebih harmoni,” katanya di majlis penutup yang berlangsung di The Grand Hall, Taylor’s University Lakeside Campus, Subang Jaya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada penganjur atas komitmen dan kejayaan penganjuran program dalam memperkukuhkan hubungan antarabangsa dan kepelbagaian budaya melalui inisiatif yang unik tersebut.
Dalam pada itu, Pro Naib Canselor (Penyelidikan dan Perusahaan) Taylor's University, Profesor Madya Dr Anthony Ho Siong Hock berkata pihaknya bangga menjadi tuan rumah acara berprestij ini, kerana bukan sahaja melambangkan komitmen pihak universiti untuk memupuk hubungan antarabangsa, tetapi juga mengukuhkan kedudukan di persada dunia.
“Kejayaan acara ini dalam menyatukan pelbagai pihak menerusi amalan penyembuhan tradisional juga mencerminkan peranan Taylor’s University sebagai fasilitator dan pendorong kesalinghubungan global dan penghargaan budaya.
"Kami komited untuk menjadi lebih daripada sekadar sebuah institusi pendidikan. Kami berusaha untuk menjadi jambatan kepada dunia seperti yang terbukti dalam komuniti antarabangsa kami yang majmuk dan bertenaga," katanya.
Qigong merupakan amalan tradisional cina yang menggabungkan postur fizikal, teknik pernafasan dan tumpuan mental untuk mengekalkan kesihatan dan kecergasan serta menjadi tumpuan utama dalam acara ini.
Berakar umbi dalam sejarah budaya Cina, amalan tradisional ini telah mendapat pengiktirafan global ke atas pelbagai manfaat fisiologinya, menjadikannya satu amalan yang penting untuk menjaga kesejahteraan diri.
Dong Jun, Ketua Pengarah, Qigong Management Centre of the General Administration of Sport of China berkata inisiatif Kem Latihan Kesihatan Qigong China-ASEAN 2023 mewakili komitmen untuk mempromosikan amalan kesihatan ini dan pada masa yang sama memelihara budaya tradisional di negara itu.
"Kemuncak program kesihatan dan kebudayaan serantau ini telah memberi kami peluang untuk memupuk pertukaran budaya yang lebih baik di antara China dan negara-negara ASEAN, sambil meningkatkan persefahaman dan kerjasama sesama kita.
"Kemuncak program kesihatan dan kebudayaan serantau ini yang berlangsung selama sebulan turut memperoleh sokongan yang padu serta penyertaan aktif dari negara-negara ASEAN, menunjukkan kepentingan kem ini," katanya.