Taylor’s University terus cemerlang, lonjak lima anak tangga QS Asia University Rankings 2025

Astro Awani
November 8, 2024 22:48 MYT
Menurut Naib Canselor dan Presiden Taylor’s University, Profesor Barry Winn, pengiktirafan bukan sahaja mengangkat universiti tersebut, tetapi juga mengukuhkan Malaysia sebagai hab pendidikan antarabangsa bertaraf dunia. - Foto Taylor's University
SUBANG JAYA: Taylor’s University terus mencatatkan kecemerlangan apabila melonjak lima anak tangga untuk menduduki tempat ke-36 dalam QS Asia University Rankings 2025.
Menurut Naib Canselor dan Presiden Taylor’s University, Profesor Barry Winn, pengiktirafan ini bukan sahaja mengangkat universiti tersebut, tetapi juga mengukuhkan Malaysia sebagai hab pendidikan antarabangsa bertaraf dunia.
“Kementerian Pendidikan Tinggi berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pendidikan universiti antarabangsa, dan di Taylor’s, hampir 50 peratus pelajar kami kini terdiri daripada pelajar antarabangsa,” jelasnya.
Profesor Winn menambah, pengiktirafan ini memberikan keyakinan kepada ibu bapa, majikan, dan pelajar bahawa di Taylor’s, mereka akan menerima pendidikan dan ijazah bertaraf dunia.
“Ia sangat penting bagi Malaysia untuk mempunyai universiti-universiti yang tersenarai dalam kedudukan tinggi, dan tahun ini, ia telah menjadi kenyataan,” tambahnya.
Beliau juga percaya bahawa pencapaian tersebut akan memberikan dorongan kepada Taylor’s University untuk terus mempertingkatkan kualiti pendidikan ke tahap terbaik untuk pelajar-pelajarnya.
“Pencapaian ini menunjukkan bahawa kami berada pada kedudukan yang sangat baik dalam ukuran kecemerlangan, dan ia mengukuhkan apa yang kami lakukan serta memberi keyakinan bahawa pendekatan kami terhadap pendidikan tinggi dihargai dan dinilai dengan baik,” ujarnya.
Menurut Profesor Winn lagi, pengiktirafan ini mencerminkan tanggungjawab dan komitmen kakitangan yang berdedikasi dalam memberikan pengalaman terbaik kepada pelajar.
Penarafan QS Asia University Rankings 2025 menilai prestasi universiti-universiti di seluruh Asia, termasuk China, Jepun, Korea Selatan, dan Singapura.
Penilaian ini berdasarkan beberapa indikator utama, seperti reputasi akademik, nisbah pensyarah-pelajar, dan sitasi per kertas.
#taylor's university #QS Asia University Rankings #Kementerian Pendidikan Tinggi #Malaysia #Asia #pendidikan #universiti
;