Taylor's University labur RM1 juta, bangunkan Makmal VORTEX XR

Eton Khir
Ogos 17, 2022 21:09 MYT
Alami pengalaman yang menakjubkan dengan penggunaan teknologi XR yang luar biasa.
KUALA LUMPUR: Taylor’s University melabur lebih RM1 juta membangunkan Makmal VORTEX XR bagi mewujudkan suasana pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan lebih interaktif seiring pertumbuhan industri teknologi realiti lanjutan (Extended Reality) atau lebih dikenali sebagai XR di negara ini.
Timbalan Naib Canselor Dan Ketua Pegawai Akademik, Prof Dr Pradeep Nair berkata, VORTEX XR yang dikenali sebagai ‘Virtual Online Future Technology and Extended Reality’ berupaya mendekatkan masyarakat, pelajar dan pengajar mengenai teknologi terkini sekali gus memenuhi permintaan pasaran kerja XR.
Makmal itu, ujar beliau, dilengkapi perisian dan perkakasan realiti terimbuh (AR), realiti maya (VR) dan lanjutan yang akan memacu penggunaan XR.
“Ini adalah sebahagian daripada perjalanan Taylor’s University membuat transformasi kepada kurikulum dan pedagogi untuk menggabungkan kemahiran teknologi dan modul ke dalam program ijazah sarjana muda sebagai persediaan menyediakan graduan untuk pekerjaan masa hadapan.
“Antara sebab kami melabur kepada Makmal VORTEX XR, kerana dapat kami lihat sejumlah besar organisasi syarikat di seluruh dunia yang mula menerima teknologi ini khususnya selepas pandemik COVID-19. Mereka mula melihat bahawa teknologi berupa komponen Metaverse seperti Augmented Reality (AR), Mixed Reality, (MR) dan Virtual Reality (VR) ini mendapat permintaan tinggi dalam pasaran industri dan dunia perniagaan.
“Selain itu, dengan Makmal VORTEX XR, semua pelajar di universiti dan kolej akan didedahkan kepada satu bentuk teknologi yang interaktif. Di samping itu, ia juga sesuai digunakan untuk latihan, sektor pembuatan, peruncitan, dan kesihatan. Justeru, kami mahukan graduan dari Taylor's ini mahir dalam penggunaan teknologi ini.
“Pada masa sama, kami juga sedar bahasa perniagaan teknologi imersif dalam industri ini dijangka akan berkembang daripada kira-kira 27 bilion kepada kira-kira 393 bilion dalam tempoh 4 tahun akan datang. Seterusnya, kami berpendapat bahawa industri ini akan mempunyai lebih daripada setengah juta pekerjaan baharu di Malaysia dan ini adalah peluang pekerjaan yang kami mahukan pelajar untuk terokai,” katanya pada Majlis Pelancaran Makmal VORTEX XR baru-baru ini.
Pada masa sama, Pradeep berkata, Taylor's turut berhasrat menghasilkan produk dan kandungan XR yang akan dikomersial untuk industri, selain hanya untuk kegunaan ahli akademik dan pelajarnya.
“Antara perkara penting lain yang diambil kira adalah ribuan perusahaan kecil yang tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan ini, dan atas dasar itu Taylor's University mahu memberi peluang dengan membuka kemudahan ini kepada perusahaan kecil dan sederhana serta semua pemilik perniagaan untuk bekerjasama dengan pihak kami agar dapat menghasilkan produk dan perniagaan baharu yang berkaitan XR,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Makmal VORTEX XR dan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Rekaan Taylor’s University, Dr Charles Sharma Naidu berkata, makmal itu juga akan berfungsi sebagai Pusat Inkubasi XR yang akan dibahagikan kepada tiga komponen iaitu perkhidmatan, tindakan, serta sokongan dan penyelidikan XR.
Di samping itu, Charles berkata perkhidmatan XR merujuk kepada penyediaan sokongan teknikal dan latihan bagi akademik, tindakan XR pula memudahkan projek, mencari dana dan pengkomersialan, manakala sokongan dan penyelidikan XR pula bagi tujuan penyelidikan dan kesedaran berkaitan teknologi itu.
“Bagi menyokong visi ini, Makmal VORTEX XR bekerjasama dengan beberapa rakan industri seperti Ministry XR bagi penggunaan teknik interaktif dan Broadcast Elements yang ditugaskan untuk integrasi siap guna, latihan dan pengeluaran produk berkaitan XR,” katanya.
Makmal ini adalah ruang eksperimen yang selaras dengan ekosistem Taylor’sphere yang melengkapkan graduan dengan kemahiran dan pengalaman yang sewajarnya untuk menangani masalah dunia sebenar dan masa depan.
Makmal VORTEX XR ini mempunyai kemudahan seperti Studio Skrin Hijau, aplikasi XR dan pentas LED yang dikuasakan Zero Density, bilik realiti campuran yang interaktif, pameran VR yang dikuasakan oleh Meta Quest dan HTC dan dua Stesen HoloLens, yang akan menyokong semua Fakulti, daripada hospitaliti hingga senibina, hinggalah kepada perubatan serta seni kulinari.
Taylor's University | Labur RM1 juta, bangunkan Makmal VORTEX XR
*Artikel ini adalah kandungan berbayar
#VORTEX XR #taylor's university #teknologi #Makmal VORTEX XR #labur
;