Taylor's University bukti pendidikan tinggi bertaraf dunia
Ehsan A Marisah
Jun 12, 2021 09:42 MYT
Jun 12, 2021 09:42 MYT
KUALA LUMPUR: Taylor’s University terus cemerlang dengan menduduki tangga ke-332 peringkat global dalam senarai siri QS World University Rankings 2022.
Kedudukan tersebut menyaksikan peningkatan sebanyak 47 anak tangga berbanding pencapaian tahun lalu, sekali gus menjadikan Taylor’s University sebagai universiti swasta terbaik di Malaysia dan Asia Tenggara.
Naib Canselor dan Presiden Taylor’s University, Profesor Michael Driscoll berkata, pencapaian di peringkat global itu didorong oleh keberkesanan strategi pembelajaran dan pengajaran yang dipraktikkan oleh universiti.
“Selain peningkatan umum, pengiktirafan jenama dan reputasi baik di Malaysia dan antarabangsa, satu perkara yang berjaya dilakukan oleh universiti ketika berdepan dengan pandemik adalah kelancaran perpindahan dari pembelajaran secara tatap muka di kampus kepada dalam talian.
“Ini juga selaras dengan objektif berterusan universiti untuk terus menjadi landasan terbaik kepada pelajar untuk mencapai kejayaan dan meningkatkan peluang pekerjaan selain terus mencari bakat baharu untuk pembangunan institusi ini,” katanya kepada Astro AWANI pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau menambah, pencapaian tersebut juga tidak dapat dicapai tanpa sokongan utuh dimainkan oleh semua pihak di universiti.
“Kami mempunyai pasukan hebat, seperti hasil yang dicapai ini, melibatkan pengurusan akademik, barisan kepimpinan dan pentadbiran yang cemerlang termasuk mereka yang menyokong para pelajar.
“Saya rasa ini adalah rahsianya apabila kita mempunyai perancangan yang baik, berpandangan ke hadapan bersama-sama pasukan hebat untuk mencapai yang terbaik,” katanya.
Taylor’s University juga terus mengekalkan kedudukan sebagai 20 terbaik di Peringkat Dunia dalam senarai siri QS World University Rankings by Subject 2021 menerusi program Hospitaliti dan Pengurusan Liburan dan turut menduduki tangga ke-89 di Asia dalam senarai siri QS Asia University Rankings 2021.
Taylor’s University turut memberikan bimbingan secara percuma tentang idea keusahawanan melalui BizPod dengan bantuan pensyarah dan usahawan berpengalaman serta mewujudkan Taylor’s Me.reka Makerspace yang menjadi pusat pembelajaran kolaboratif berlandaskan inovasi.
Taylor's University | Unggul dan bukti pendidikan tinggi bertaraf dunia
#taylor's university
#taylor's
#universiti
#pendidikan
#QS World University Rankings
#QS Asia University Rankings
#QS World University Rankings by Subject
#hospitality
#Michael Driscoll