Taylor’s diiktiraf #41 terbaik Asia, kukuh status sebagai universiti swasta #1 Asia Tenggara
Israr Khalid
November 17, 2023 18:22 MYT
November 17, 2023 18:22 MYT
KUALA LUMPUR: Taylor’s University sekali lagi memahat penanda aras baharu pendidikan tinggi di rantau ini apabila diangkat ke kedudukan ke-41 terbaik dalam QS Asia University Rankings 2024.
Pencapaian ini menjadi bukti komitmen teguh Taylor’s terhadap kecemerlangan dan terus mengukuhkan statusnya sebagai universiti swasta nombor satu di Asia Tenggara.
Taylor’s memanjat lebih daripada 160 anak tangga sejak sembilan tahun lalu untuk berada di kelompok 50 terbaik Asia, dan mendaki 349 anak tangga sejak 2019 untuk berada di kedudukan ke-284 dalam QS World University Rankings 2024, meletakkan dirinya dalam kelompok 1 peratus universiti terunggul dunia.
Pengiktirafan ini dinilai daripada pertumbuhan ketara Taylor’s dalam lima penunjuk utama, merangkumi Nombor Penyelidikan Antarabangsa, Petikan Setiap Kertas, Nisbah Fakulti-Pelajar, Fakulti Antarabangsa, dan Reputasi Akademik.
"Pengiktirafan ini membawa makna yang besar kerana ia datang dari pihak luar. Ini bukan sekadar penilaian diri sendiri, tetapi sebaliknya merupakan testimoni daripada komuniti antarabangsa mengesahkan kecemerlangan dan standard tinggi yang kami junjung sebagai sebuah universiti.
“Maknanya buat para pelajar kami adalah mereka akan berada di tempat teratas dalam minda para majikan apabila mereka memasuki pasaran kerja, dan saya harap ia menjadi satu kebanggaan juga kepada semua bekas pelajar Taylor’s," kata Naib Canselor dan Presiden Taylor’s University, Profesor Michael Driscoll.
Beliau menyifatkan kejayaan tersebut membuktikan kualiti program akademik Taylor’s yang luar biasa, kaedah pengajaran yang berkesan, dan dedikasi fakulti dan pelajar-pelajar mereka yang cemerlang.
Jelasnya, ia menjadi detik penting bagi mereka, terutamanya ketika institusi itu terus berusaha merealisasikan misinya untuk menyampaikan pembelajaran menyeluruh dan bermatlamat dalam kurikulumnya.
“Ia hadir daripada komitmen berterusan menerusi keunggulan akademik dan inovasi dalam pengalaman pembelajaran untuk mengembangkan sempadan pendidikan didorong tujuan.
“Kami memiliki antara kurikulum yang paling kaya dan pelbagai berbanding mana-mana universiti di dunia, kami juga peneraju di Malaysia dalam memberikan pelajar peluang mempelajari subjek di luar pengkhususan mereka.
“Malah kami berhubungan rapat dengan industri bagi memastikan kami sentiasa berpijak di bumi nyata, meliputi pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan pelajar kami untuk berjaya dalam dunia yang berkembang pesat,” jelasnya.
Taylor’s terkenal dengan Pengalaman Pembelajaran Pelbagai Disiplin (Multidisciplinary Learning Experience, MLE) yang transformatif, menggabungkan pelbagai mata pelajaran untuk mencipta program yang inovatif.
Sebagai institusi perintis untuk menawarkan pendekatan MLE yang dibina berdasarkan Taylor’s Curriculum Framework, ia mewajibkan projek pelbagai disiplin merentas program sarjana muda, menekankan komitmennya untuk menyediakan graduan untuk kerjaya yang pelbagai dan bermakna.
Pendekatan ini mencerminkan dedikasi Taylor’s untuk melengkapkan graduan dengan kemahiran yang berkaitan dengan industri dan pemacu untuk perubahan positif.
Suasana global hari ini menyerlahkan kepentingan menangani cabaran kontemporari, seperti kemajuan teknologi, globalisasi, anjakan demografi dan perubahan iklim.
Pendekatan pelbagai disiplin adalah penting untuk memahami dan menangani isu kompleks ini dengan berkesan.
Untuk maklumat lanjut tentang pencapaian ini dan berkenaan Taylor’s University secara amnya, klik sini.
Diiktiraf #41 terbaik Asia, dalam kelompok 1% terbaik dunia