Taylor’s College raih keunggulan pendidikan dengan Anugerah Platinum ACCA

Israr Khalid
Disember 14, 2024 10:00 MYT
Status Platinum ACCA membolehkan pelajar mendapat akses yang lebih luas kepada sumber pembangunan profesional ACCA dan rangkaian global yang dapat memacu pertumbuhan kerjaya mereka.
KUALA LUMPUR: Taylor’s College memperkukuh posisinya selaku institusi pendidikan yang diyakini di Malaysia dan di pentas global dengan pencapaian berprestij ‘ACCA Platinum Approved Learning Partner’.
Pengiktirafan tertinggi daripada Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) Global ini menjadi satu tanda kecemerlangan serta dorongan untuk Taylor’s terus komited menjadi peneraju dalam menyediakan pendidikan perakaunan bertaraf dunia.
Status Platinum ini membolehkan pelajar mendapat akses yang lebih luas kepada sumber pembangunan profesional ACCA dan rangkaian global yang dapat memacu pertumbuhan kerjaya mereka, melengkapkan mereka dengan kemahiran dan pandangan kritikal untuk industri.
Pengarah Kampus Taylor’s College, Josephine Tan, menyatakan rasa bangganya dengan pencapaian tersebut, yang menjadi bukti ketekunan, semangat dan komitmen mereka selama bertahun-tahun.
“Ia mengesahkan kecemerlangan program ACCA kami serta dedikasi fakulti, pelajar, serta rakan kerjasama kami yang bekerja tanpa jemu untuk mengekalkan dan meningkatkan standard kami.
“Dengan komitmen teguh terhadap kecemerlangan dalam pendidikan, pengalaman dunia nyata, dan integriti profesional, kami akan terus membimbing pemimpin perakaunan masa depan di Malaysia, melengkapkan mereka dengan kemahiran penting untuk cemerlang dalam industri yang sentiasa berkembang.”
Tambah beliau, pandangan daripada Panel Penasihat Industri Taylor’s memastikan program mereka selaras dengan keperluan industri yang dinamik dan sentiasa berubah.
Prinsip pendidikan Taylor’s sekali lagi ditekankan, yang bermatlamat membentuk modal insan masa depan yang tidak hanya berupaya mengorak langkah besar dalam karier masing-masing sebagai individu, tetapi memainkan peranan lebih besar dan mulia dengan menyumbang kepada kemajuan masyarakat.
Menurut Ketua Portfolio ACCA Maritim Asia Tenggara, Andrew Lim, pencapaian status Platinum ini merupakan satu kejayaan besar, menyerlahkan dedikasi Taylor’s College terhadap kecemerlangan dalam menyampaikan pendidikan ACCA dan menyokong kejayaan pelajar, selaras amalan terbaik global.
“Ia mencerminkan iltizam mereka untuk membentuk para profesional masa depan yang bukan saja cekap secara teknikal tetapi juga mematuhi standard etika dan profesional, yang menjadi teras kepada tujuan ACCA dalam membina dunia yang lebih baik dan mampan.”
Pencapaian status Platinum ini selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan 60,000 akauntan bertauliah menjelang 2030.
Dalam majlis sambutan bersama pelajar, alumni, dan rakan kerjasama, Taylor’s College menandatangani Memorandom Persefahaman (MoU) dengan ACCA, disaksikan Pengerusi Taylor’s Education Group, Datuk Loy Teik Ngan; dan Ketua Hubungan Pendidikan ACCA Maritim Asia Tenggara, Ang Wen How.
Kerjasama ini bermatlamat mempertingkat peluang kejayaan pelajar dengan mewujudkan laluan dwi-anugerah untuk pelajar Diploma Perniagaan, sejajar piawaian industri yang berkembang dan pembangunan baharu seperti Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (ESD).
Selama bertahun, pelajar ACCA tidak hanya menunjukkan kecemerlangan akademik tetapi juga kemampuan bersaing di pentas global.
Pada tahun 2020, seorang pelajar menjadi juara ‘Foundations in Audit’, memperoleh markah tertinggi di Malaysia dan ketiga di dunia; kejayaan diulang pada tahun berikutnya, mencatat markah tidak hanya tertinggi di Malaysia tetapi juga di dunia untuk subjek sama.
Kecemerlangan turut dilakar dalam ‘Audit and Assurance’ serta ‘Maintaining Financial Records’ pada 2022 dengan kedudukan tertinggi di Malaysia, sementara di peringkat global masing-masing di tempat kelima dan kedua.
Tahun lepas, Taylor’s College mencatat markah tertinggi di Malaysia dan tempat kedua di dunia dalam ‘Recording Financial Transaction’, dan tahun ini tradisi cemerlang diteruskan dengan markah tertinggi di Malaysia dan tempat kedua di dunia dalam ‘Management Information’.
Di samping pencapaian akademik, pelajar ACCA Taylor’s College juga unggul dalam pertandingan berprestij, antaranya menjuarai ‘Accounting Competency Challenge’ pada 2022 di mana mereka menewaskan 17 universiti dari seluruh ASEAN serta meraih gelaran ‘Most Determined Team’.
Tahun ini, mereka mendapat tempat ketiga dalam ‘2024 Institute of Management Accountants AsiaPac Student Case Competition’.
Dengan hampir enam dekad membentuk landskap pendidikan Malaysia, Taylor’s College berazam untuk terus menerajui usaha membina para pemimpin dan profesional masa depan.
#taylor's #ACCA #pendidikan #perakaunan bertaraf dunia
;