Tayar pecah punca nahas tiga lori di Lebuhraya PLUS

Abd Razak Mohd Ali
Mei 17, 2024 11:10 MYT
Nahas melibatkan tiga lori berlaku di KM367 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, di laluan Sungkai - Slim River pagi ini, mengakibatkan seorang pemandu maut dan seorang lagi cedera. - Foto JBPM Perak
TANJUNG MALIM: Tayar pecah dipercayai menjadi punca nahas tiga buah lori di Kilometer 367.1 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, laluan Sungkai - Slim River, pagi ini, yang turut mengorbankan seorang pemandu.
Ketua Polis Daerah Muallim, Supt Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, pemandu yang maut dikenal pasti sebagai Hoo Yoon Wah, 61 tahun.
Menurutnya, siasatan awal di lokasi mendapati kemalangan berlaku apabila lori 10 tan dari Bukit Kayu Hitam hendak ke Selayang yang membawa muatan buah-buahan itu pecah tayarnya lalu terlanggar sebuah lagi lori.
“Kedua-dua lori hilang kawalan dan terbabas menyebabkan lori buah-buahan melintang di atas jalan menutup semua lorong manakala lori kedua terbabas masuk ke bahu jalan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mohd Hasni berkata, pada masa yang sama, lori ketiga yang dipandu Hoo tidak sempat mengelak lalu terlanggar kenderaan yang melintang di tengah jalan.
“Akibat kemalangan ini, mangsa ketiga tersepit dan mengalami kecederaan di bahagian kaki.
“Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian setelah disahkan oleh pegawai perubatan,” ujarnya.
Menurutnya, mangsa kedua mengalami kecederaan patah kaki kiri manakala pemandu lori pertama yang melintang di lebuh raya, tidak mengalami kecederaan.
Beliau memberitahu, proses bedah siasat akan dijalankan di Unit Forensik Hospital Slim River.
#nahas tiga lori #pemandu lori maut #tayar pecah #Muallim
;