Tayangan perdana 'Juang' 5 September ini
Aida Aziz
September 2, 2022 09:45 MYT
September 2, 2022 09:45 MYT
IPOH: Pincer MBI Studio Sdn Bhd dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan menganjurkan Majlis Menghargai Jasa Hero-Hero Malaysia dan Tayangan Perdana Filem 'Juang' pada 5 September ini.
Majlis berkenaan akan diadakan di Golden Screen Cinema (GSC), Ipoh Parade di sini khusus untuk meraikan dan menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan ketika negara berperang dengan COVID-19.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata tayangan perdana yang bermula jam 8 malam pada Isnin itu dijangka turut dihadiri oleh beberapa barisan pengarah dan artis terkenal seperti Jack Lim, Matt Lai, Aziz M Osman, Luqman Hafidz serta Datuk Soo Wincci.
Katanya lagi, tayangan filem itu juga bertepatan dengan bulan kemerdekaan dan juga Hari Malaysia yang akan disambut tidak lama lagi.
"Tujuan penganjuran majlis ini adalah untuk menghargai jasa dan pengorbanan barisan hadapan sepanjang tempoh pandemik dan endemik COVID-19 yang melanda Malaysia.
"Majlis ini dijangka akan dihadiri oleh wakil Menteri Besar Perak, wakil Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Exco negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri.
"Ketua WHIP Ahli Majlis MBI, Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan serta barisan frontliner," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas berkenaan majlis tersebut yang diadakan di sini pada Khamis.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pincer MBI Studio Sdn Bhd, Kah Fee Yee, Ahli Lembaga Pengarah, Khairul Anuar Lodin dan Pengarah Eksekutif Allyan Too.
Sementara itu, Kah Fee Yee atau Thong berkata, Pincer MBI Studio Sdn Bhd menjadi salah satu rakan strategik yang berperanan dalam pelaburan dan promosi filem berkenaan.
"Pincer MBI Studio Sdn Bhd melalui rakan kongsi menjadi antara syarikat yang berperanan dalam membantu untuk mempromosi filem ini.
"Kita bantu dari segi strategi pemasaran bagi menjayakan filem itu," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menceritakan serba sedikit cabaran yang terpaksa dihadapi ketika penggambaran filem itu berlangsung, sewaktu kes COVID-19 masih tinggi.
"Banyak cabaran dan kesukaran untuk hasilkan filem ini, lebih-lebih lagi buat para pelakon dan kru kerana waktu itu prosedur operasi standard (SOP) masih ketat.
"Paling sukar ialah untuk mencari hospital, kerana kita memang perlukan hospital untuk dijadikan tempat penggambaran.
"Namun ketika itu memang SOP tidak benarkan untuk kita lakukan penggambaran di hospital, jadi kita perlu fikir cara lain untuk jayakannya.
"Itulah antara kesukaran yang kita hadapi, oleh itu kami harap orang ramai khususnya petugas barisan hadapan boleh sokong filem ini," katanya lagi.
Sebelum ini media melaporkan, Juang membariskan pelakon handalan berbilang bangsa seperti Zul Ariffin, Zizan Razak, Janna Nick, Izzue Islam, Sangeeta Krishnasamy, Chew Kin Wah, Angelin Tan, Steve Yap serta penampilan Allahyarham Adibah Noor.
Ia memaparkan perit getir yang diinspirasikan sepanjang dua tahun negara berdepan pandemik yang cukup meninggalkan kesan mendalam.
Filem ini diperkuat dengan lagu tema "Wira Hatiku" dendangan Datuk Sheila Majid bersama iringan muzik dari Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO).