Tawaran RM4 seekor jadi ganjaran, 4,856 gagak berjaya ditembak
Hilal Azmi
September 10, 2017 22:23 MYT
September 10, 2017 22:23 MYT
Sejumlah 4,856 ekor gagak berjaya ditembak dalam Operasi Menembak Gagak yang dianjurkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) pada Ahad.
Menurut Timbalan Yang Dipertua MPK, Adi Faizal Ahmad Tarmizi, operasi tersebut dijalankan sebagai langkah membebaskan Klang daripada dikaitkan dengan burung pembangkai itu.
"Populasi gagak yang terlalu tinggi telah menyebabkan banyak masalah kepada penduduk sekitar daerah ini.
"Ini juga peluang yang baik untuk mereka yang mempunyai lesen memburu bagi menjalankan aktiviti mereka sambil membantu pihak kami menyelesaikan isu ini," katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Operasi ini membabitkan 82 peserta dari seluruh negara dianjurkan Bahagian Kesihatan dan Penguatkuasaan MPK bermula jam 7 pagi hingga 7 malam.
Bagi setiap gagak yang ditembak, MPK membayar RM4 kepada peserta yang berjaya dan sejumlah RM19,116 sudah dibayar secara tunai kepada peserta kali ini.