Tawaran pampasan RM1 bilion Goldman Sachs 'tidak memadai' - Dr Mahathir

Agensi
Jun 24, 2019 05:56 MYT
Dr Mahathir menyifatkan tawaran RM1 bilion oleh Goldman Sachs adalah amat kecil dan tidak mencukupi. -Foto CNBC
PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tawaran RM1 bilion oleh Goldman Sachs sebagai pampasan atas tindakannya dalam skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) adalah amat kecil dan tidak memadai.
Sebaliknya, tegas Tun Mahathir, Kementerian Kewangan akan menentukan jumlah pampasan sewajarnya yang perlu dibayar oleh bank pelaburan itu.
Beliau berkata demikian dalam sesi temu bual bersama wartawan CNBC, Tanvir Gill di Bangkok, Thailand sempena Sidang Kemuncak Asean.
Sebelum ini dilaporkan bahawa Goldman Sachs memperoleh fi berjumlah US$600 juta (kira-kira RM2.5 bilion) atas pengaturan bon berkaitan 1MDB.
Kerajaan Malaysia juga telah memfailkan pertuduhan jenayah terhadap tiga anak syarikat Goldman Sachs Inc atas pengendalian bon bernilai US$6.5 bilion yang diterbitkan 1MDB.
Ini merupakan pertama kali sebuah negara memfailkan pertuduhan jenayah terhadap firma utama perbankan pelaburan Amerika Syarikat itu.
#1Malaysia Development Bhd #1MDB #Goldman Sachs #Kementerian Kewangan #Perdana Menteri #Tanvir Gill #Tun Dr Mahathir Mohamad