Tawaran Hishamuddin menarik, tapi biarlah kerajaan buat - KJ
Diyana Ibrahim
Oktober 23, 2018 17:22 MYT
Oktober 23, 2018 17:22 MYT
Tawaran Datuk Seri Hishamuddin Hussien untuk menjejaki ahli perniagaan Low Taek Jho yang juga dikenali sebagai Jho Low disifatkan menarik tetapi biarlah ia dilakukan kerajaan, kata Khairy Jamaluddin.
Menurut Ahli Parlimen Rembau itu, usaha membawa pulang Jho Low yang menjadi suspek dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak seharusnya dibuat dalam kapasiti peribadi.
Katanya, usaha tersebut sepatutnya melibatkan hubungan dua hala negara antara kerajaan Malaysia dan kerajaan China.
“Perkara seperti ini melibatkan kerjasama agensi antara Malaysia, dan melibatkan undang-undang dan sebagainya.
“Satu kenyataan yang menarik daripada Datuk Seri Hishamuddin untuk cari Jho Low tetapi kalau beliau ada maklumat saya harap dapat diberikan kepada pihak kerajaan.
“Sebab itu cara yang terbaik untuk bawa pulang Jho Low yang diperlukan untuk siasatan,” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.
Semalam, Hishammuddin yang juga bekas menteri pertahanan membuat pengakuan menawarkan diri untuk menjejaki Jho Low untuk di bawa pulang ke Malaysia.
Katanya tawaran itu dibuat atas kapasiti peribadi dan berharap agar kes 1MDB dapat diselesaikan.
#1Malaysia Development Berhad
#1MDB
#Barisan Nasional
#China
#Hishammuddin Hussein
#Jho Low
#Khairy Jamaluddin
#Low Taek Jho
#Malaysia Baharu
#Parlimen
#siasatan
#undang-undang