Tawaran gaji lebih tinggi tarik minat belia bekerja dalam sektor 3D - Kulasegaran

Diyana Ibrahim
November 22, 2018 12:49 MYT
KULASEGARAN: Jika kita tingkatkan gaji dan beri insentif yang lebih, maka ramai yang akan bekerja di negara ini. -Gambar fail
Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran mengakui tawaran gaji lebih tinggi dan insentif lebih baik yang ditawarkan kepada belia dalam sektor pekerjaan 3D (sukar, kotor dan berbahaya) dapat menarik minat golongan itu untuk bekerja di negara sendiri.
Beliau berkata kerajaan kini sedang dalam peringkat kajian agar dasar untuk menarik minat belia bekerja dalam sektor 3D di negara sendiri daripada berhijrah ke luar negara dapat dilaksanakan.
"Ia bukan andaian, memang benar, persepsi itu tidak salah. Jika kita tingkatkan gaji dan beri insentif yang lebih, maka ramai yang akan bekerja di negara ini.
"Ramai rakyat Malaysia bekerja di Australia dan New Zealand kerana bayaran lebih lumayan kerana itu kita kini mengadakan kajian dan usaha untuk membawa mereka pulang. Ini sedang diusahakan, kita sedang melakukan kajian," katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.
Khairy dalam soalannya berkata persepsi dalam kalangan belia yang lebih suka bekerja di luar negara seperti Australia dan New Zealand dalam sektor 3D kerana tawaran gaji yang lebih lumayan.
Pada masa sama wakil rakyat DAP itu menjelaskan situasi kadar pengangguran yang tinggi dalam kalangan belia tidak hanya berlaku di Malaysia namun ia turut dihadapi oleh setiap negara membangun dan maju.
Katanya ia berdasarkan laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menunjukkan kira-kira 45 peratus kadar pengganguran di Asia Pasifik adalah kalangan belia dalam lingkungan umur 15 hingga 24 tahun.
Beliau turut mendedahkan jumlah pengangguran belia bagi umur 15 hingga 24 tahun adalah 516,400 orang membabitkan 27.3 peratus, di mana sejumlah 140, 977 graduan menganggur direkodkan bagi tahun 2018.
#gaji lebih tinggi #insentif lebih baik #Khairy Jamaluddin #kulasegaran #Menteri Sumber Manusia #sektor pekerjaan 3D #sukar kotor dan berbahaya
;