Tawar wanita untuk dikahwini antara pendekatan tarik pembabitan anak muda dalam kumpulan radikal - GPM
Raja Hisyam Raja Zaid
Ogos 11, 2022 06:10 MYT
Ogos 11, 2022 06:10 MYT
KUALA LUMPUR: Menawarkan wanita tempatan yang sealiran dengan aktiviti radikal untuk dikahwini adalah antara pendekatan yang digunakan oleh organisasi atau gerakan yang terkait dengan keganasan bagi menarik minat golongan muda dari negara ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Fahmi Samsudin, menerusi beberapa pengalaman mendekati golongan muda warga Malaysia di beberapa zon konflik seperti di Syria, telah mendedahkan pendekatan tersebut yang mendorong golongan ini untuk menyertai peperangan yang berlaku.
Malah menurutnya, ada dalam kalangan remaja yang ditemui mula menyedari kesilapan tersebut namun gagal untuk Kembali ke tanah air disebabkan beberapa faktor tertentu.
“Kami sendiri pernah berhadapan dengan situasi rakyat Malaysia yang terlibat dengan kegiatan radikal yang tawarkan dengan mereka yang terlibat peperangan di Syria dan kita cuba membantu menyelamatkan dan membawa balik mereka ini.
“Sebab ada sebahagian mereka dalam kes-kes tertentu mereka menyedari kesilapan itu selepas mereka berada di sana,” katanya kepada Astro AWANI.
Malah ada kes-kes tertentu di mana passport mereka dibakar oleh kumpulan berkenaan sekaligus menyukarkan proses untuk membawa mereka pulang atau kembali ke tanah air.
Justeru jelas Fahmi, beberapa program berterusan telah digarap bagi memberikan pendedahan kepada golongan muda di negara ini dalam konteks pencegahan awal sebelum mereka terlibat dengan sebarang kumpulan yang tidak sepatutnya.
“Kita juga menjalinkan kerjasama dengan pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam melaksanakan beberapa program bersifat pencegahan.
“Ini termasuklah mendekati anak muda di lapangan untuk melihat kefahaman mereka serta pandangan mereka terhadap sesuatu isu. Seandainya terdapat kecenderungan mereka ke arah itu (keganasan) maka kitab oleh ambil langkah pencegahan awal dalam menanganinya,” katanya lagi.
Jelasnya lagi, kebiasaanya anak muda yang sedang dalam proses mencari identiti lebih senang dipengaruhi oleh kumpulan tertentu yang sering memanipulasikan keadaan tersebut.
Sebahagianya juga cenderung untuk menggunakan pendekatan agama yang salah bagi meyakinkan golongan muda untuk menyertai perjuangan mereka.
Ketika ini katanya indeks pembabitan golongan muda dalam kumpulan berunsur radikal di peringkat global juga menunjukkan peningkatan.
Malah perkembangan itu menjadikan GPM sentiasa memantau pengaruh yang memasuki negara ini dalam kalangan belia agar ia mampu dikawal dari semasa ke semasa.
Penglibatan anak muda negara ini dalam aktiviti yang sihat menerusi GPM dan juga organisasi lain yang diiktiraf adalah amat penting dalam memastikan mereka sentiasa berada di landasan yang betul dan tidak tersilap dalam membuat keputusan.
“Apabila kita terlibat dengan kerjasama bersama organisasi lain di lapangan kita akan pastikan organisasi tersebut adalah diiktiraf dan bukan sekadar kumpulan-kumpulan yang baharu diwujudkan tanpa ada sebarang pengiktirafan atau sejarah penubuhan yang tidak jelas,” katanya.
Usaha sedemikian katanya adalah antara pendekatan penting memandangkan segala proses untuk mengembalikan mereka ke landasan yang betul akan berdepan dengan banyak masalah seandainya mereka sudah terlibat atau sudah bersama dengan kumpulan radikal di luar negara iaitu di medan peperangan.