Tauke ayam segar tidak menang tangan terima tempahan
Fareez Azman
Mei 2, 2022 18:27 MYT
Mei 2, 2022 18:27 MYT
ALOR GAJAH: Sebaik Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengisytiharkan Hari Raya Aidilfitri jatuh hari ini, media sosial kecoh dengan keluhan orang ramai.
Rata-rata daripada mereka yang terkejut dengan pengumuman itu kerana menjangkakan 1 Syawal akan disambut esok (Selasa) mula ‘tidak tentu arah’ kerana persiapan belum sempat dilakukan terutama penyediaan juadah.
Berikutan pengumuman yang tidak dijangka itu, peniaga ayam di Kelemak, Alor Gajah, Melaka, Mohd Noh Kartubi, 60, turut tidak ketinggalan terpaksa menjadi ‘lipas kudung’ untuk memenuhi permintaan yang di luar jangka.
Belum pernah sepanjang menjual ayam sedar, Mohd Nor memulakan perniagaan seawal pukul 3 pagi seperti yang terjadi hari ini.
Dek kerana orang ramai tidak sempat membeli ayam segar kerana Hari Raya Aidilfitri jatuh awal sehari daripada yang dijangka, maka Mohd Noh perlu memenuhi kehendak mereka.
Tinjauan Astro AWANI di kedainya mendapati pelanggan beratur panjang untuk mendapatkan bekalan ayam segar di kedai Mohd Noh.
Kata Mohd Noh, tempahan pada hari raya pertama sahaja mencecah 700 ekor ayam.
"Kali ini lagi kelam-kabut bila hari raya diumumkan awal sehari daripada jangkaan ramai,”
jelasnya ketika ditemui Astro AWANI.
Berpengalaman menjual ayam hampir 20 tahun, bagi Mohd Noh, selain cuba menyelesaikan pesanan pelanggan secepat mungkin, dia juga dapat melihat keceriaan umat Islam untuk menyambut hari kemenangan itu.
"Dua tahun dah tak dapat beraya, tapi tahun ini memang meriah. Ada juga nak tempah saat akhir, tapi kita tak ambil," katanya.
Tambahnya, rata-rata pelanggan akan memintanya memotong seekor ayam kepada empat bahagian untuk dijadikan rendang.
"Ada yang nak minta potong empat bahagian, potong 16 pun ada, untuk buat rendang ayam juga. Cabaran sebagai peniaga ayam salah satunya ialah dari segi harga.
“Untuk tahun ini harga tinggi daripada ladang, tetapi harga jualan rendah, tidak berpatutan dengan margin keuntungan… walaupun keuntungan tipis tapi kena lalui juga," ujarnya lagi.