Taufan Nakri dan Matmo: Pulau Pinang dalam keadaan bersiap sedia

Bernama
November 7, 2019 21:02 MYT
Kedua-dua taufan itu dijangka mewujudkan anomali di negeri ini dan siri ribut petir juga dijangka berlaku dari Jumaat (esok) hingga Ahad. - Gambar fail/BERNAMA
Pulau Pinang sentiasa memantau perkembangan cuaca dengan teliti berikutan jangkaan negeri itu menghadapi hujan lebat dan ribut petir esok hingga Ahad ini berikutan Taufan Nakri dan Taufan Matmo.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata pihaknya juga bekerjasama dengan jabatan berkaitan dan sentiasa dalam keadaan bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
"Kami (Pulau Pinang) berada di tengah-tengah antara Taufan Nakri yang dijangka memberi impak kepada Vietnam pada Sabtu dan boleh menjadi taufan tahap 1 manakala Taufan Matmo pula memberi kesan kepada Myanmar serta Bangladesh esok.
"Kedua-dua taufan itu dijangka mewujudkan anomali (penyimpangan daripada jenis atau bentuk yang biasa) di negeri ini dan siri ribut petir juga dijangka berlaku dari Jumaat (esok) hingga Ahad," katanya di sini hari ini.
Katanya beliau juga telah mengarahkan semua pihak terutama pasukan Skuad Khas dan Respon untuk berada dalam keadaan bersiap sedia termasuk peralatan, kenderaan, logistik serta tenaga manusia.
-- BERNAMA
#anomali #bersiap sedia #hujan lebat #pulau pinang #ribut petir #Taufan Matmo #Taufan Nakri
;