BINH DINH:Seorang maut manakala 12 nelayan hilang beberapa jam sebelum Taufan Molave dijangka membadai Selatan Vietnam.

Memetik laporan media tempatan, taufan berkenaan merupakan taufan yang paling kuat melanda Vietnam dalam 20 tahun.

Sementara itu, angkatan tentera laut telah mengerahkan dua kapal penyelamat bagi usaha mencari dan menyelamat nelayan yang hilang di wilayah Binh Dinh.

Taufan Molave sebelum ini diramal akan membadai Vietnam dengan kelajuan angin sehingga 150 kilometer sejam.

Lebih 40,000 penduduk di daerah terbabit telah dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat.

Selain itu, semua pejabat, kilang dan sekolah di wilayah yang terjejas diarah ditutup.

Penduduk tempatan juga diminta untuk duduk di rumah bagi menghadapi taufan itu.

Dalam pada itu, lima lapangan terbang di wilayah itu juga ditutup dengan lebih 200 penerbangan dibatalkan.

Perkhidmatan kereta api di wilayah itu juga tergendala dan akan beroperasi semula apabila taufan itu reda.