Taufan Mangkhut: Tangguh perjalanan ke kawasan terjejas

Harits Asyraf Hasnan
September 17, 2018 11:18 MYT
Kementerian Luar menasihati warganegara Malaysia untuk menangguhkan lawatan yang tidak mustahak ke kawasan-kawasan yang terjejas. - Foto REUTERS
Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan cedera akibat Taufan Mangkhut yang membadai Hong Kong, Macau dan beberapa wilayah selatan China termasuk Wilayah Guangdong.
Kementerian itu dalam satu kenyataan pada Isnin menasihati warganegara Malaysia untuk menangguhkan lawatan yang tidak mustahak ke kawasan-kawasan yang terjejas.
"Manakala mereka yang sedang melawat atau menetap di kawasan-kawasan terjejas adalah dinasihatkan untuk berada di dalam bangunan dan sentiasa peka terhadap laporan perkembangan cuaca dan arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
"Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh berhubung dengan pejabat Konsulat Jeneral Malaysia yang terdekat, sama ada di Hong Kong atau Guangzhou," kata Wisma Putra.
Kenyataan itu memaklumkan, Kementerian Luar melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Hong Kong dan Guangzhou akan terus memantau keadaan dan perkembangan semasa kejadian ini.
Malah, pihak Konsulat Jeneral Malaysia akan sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan nasihat dan maklumat yang terkini untuk membantu rakyat Malaysia.
Sehingga pagi Isnin, taufan tersebut telah mengorbankan empat nyawa di Wilayah Guangdong dan mencederakan lebih 200 orang di Hong Kong serta Macau.
Lebih dari 2.4 juta penduduk di Wilayah Guangdong telah dipindahkan ke kawasan selamat.
Menurut Pusat Pemerhati Hong Kong, kekuatan Taufan Mangkut kini semakin berkurangan.
Ia dijangka akan bergerak ke arah barat dengan kelajuan 20 kilometer sejam menghala ke wilayah Guizhou, Chongqing dan Yunnan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa China telah mengeluarkan amaran banjir akibat hujan lebat yang mungkin dibawa oleh taufan tersebut.
#China #Hong Kong #Kementerian Luar #keselamatan #rakyat #rakyat Malaysia