Taufan Gaemi: Malaysia Airlines batal penerbangan MH366 dan MH367

Bernama
Julai 24, 2024 12:58 MYT
Malaysia Airlines telah membatalkan penerbangan MH366 dari Kuala Lumpur ke Taipei dan penerbangan MH367 dari Taipei ke Kuala Lumpur hari ini susulan cuaca buruk yang disebabkan oleh Taufan Gaemi. - Gambar fail/REUTERS
KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines telah membatalkan penerbangan MH366 dari Kuala Lumpur ke Taipei dan penerbangan MH367 dari Taipei ke Kuala Lumpur hari ini susulan cuaca buruk yang disebabkan oleh Taufan Gaemi.
"Penumpang terjejas yang ingin menukar penerbangan atau membatalkan perjalanan mereka boleh berbuat demikian melalui 'My Booking' di laman sesawang kami,'' menurut syarikat penerbangan negara itu dalam kenyataan hari ini.
Secara alternatif, kenyataan itu memaklumkan penumpang boleh ke Sembang Langsung di laman sesawang berkenaan atau menghubungi Pusat Hubungan Global Malaysia Airlines.
"Keselamatan penumpang dan kru adalah keutamaan Malaysia Airlines," menurut kenyataan itu.
Agensi Meteorologi Taiwan telah menggeluarkan amaran laut dan darat bagi Taufan Gaemi, yang dijangka mendarat di Daerah Yilan antara lewat malam Rabu dan awal pagi Khamis.
Agensi itu meminta penduduk yang tinggal di sepanjang sungai supaya sentiasa berwaspada manakala ahli meteorologi meramalkan ribut petir di kebanyakan kawasan dalam tempoh beberapa hari akan datang.
-- BERNAMA
#Taufan Gaemi #Malaysia Airlines #Batal penerbangan #MH366 #MH367