Taufan 'Dujuan' penyumbang jerebu merentas sempadan- Wan Junaidi
Shuhami Zabri
September 28, 2015 23:23 MYT
September 28, 2015 23:23 MYT
Jerebu merentas sempadan dari kawasan-kawasan kebakaran yang semakin meluas di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia menyebabkan jerebu kembali melanda negara ini.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kawasan yang teruk terjejas adalah di beberapa negeri di Pantai Barat Semenanjung, khususnya di Lembah Klang, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Sarawak.
Beliau berkata, kehadiran Taufan 'Dujuan' yang aktif ketika ini, menyebabkan negara ini menerima tiupan angin Barat Daya yang konsisten dari Sumatera dan Kalimantan, yang membawa asap jerebu secara berterusan untuk tempoh beberapa hari lagi.
"Keadaan itu diburukkan lagi dengan bilangan titik panas yang banyak dikesan di Sumatera, manakala bilangan titik panas di Kalimantan tidak dapat dikesan sepenuhnya berikutan litupan awan.
"Pemantauan menunjukkan, pergerakan asap jerebu tebal dan sederhana dari kawasan-kawasan kebakaran di Kalimantan telah menghala ke barat Sarawak.
"Asap jerebu tebal serta sederhana dari kawasan-kawasan kebakaran di tengah serta selatan Sumatera, didapati telah menyelubungi sebahagian besar Pantai Barat Semenanjung," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Wan Junaidi berkata, situasi berjerebu itu dijangka berkurangan apabila arah tiupan angin Barat Daya ketika ini yang dijangka menjadi Timur bermula Selasa akan menyebabkan asap jerebu dibawa ke tempat lain, sekiranya kebakaran masih berlaku.
"Berikutan perubahan arah angin itu, dijangkakan cuaca akan menjadi lebih lembab dengan hujan serta ribut petir akan berlaku di kebanyakan tempat di seluruh negara," ujarnya lagi.
Menurutnya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) berterusan memantau rapi bacaan IPU di seluruh negara melalui 52 stesen pengawasan kualiti udaranya.
Katanya, mekanisme tindak balas semasa berlakunya jerebu adalah mengikut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, di mana tindakan-tindakan telah diambil oleh agensi yang terlibat.
Wan Junaidi berkata, tindakan penguatkuasaan membabitkan pembakaran terbuka turut dipertingkatkan dan sehingga 27 September lalu, 3,427 kes dikesan di seluruh negara dengan 216 kes dikenakan tindakan kompaun.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan bekerjasama membantu memadamkan kebakaran-kebakaran kecil, serta melaporkan kes-kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada pihak berkuasa.