Taubat, doa ibu bapa dan sedekah, asbab untuk bangkit semula - Mangsa banjir

Ridauddin Daud
Mei 5, 2022 16:34 MYT
Bagi Jep, apa yang berlaku kepada diri dan perniagaannya itu bukanlah kerana kehebatannya namun kerana Allah dan tiga perkara yang dipegangnya. - Foto Astro AWANI
SHAH ALAM : Dalam hidup, manusia tidak boleh lari dari ranjau dan onak durinya.
Benarlah kata orang, hidup umpama roda, kadangkala di atas dan dalam sekelip mata, boleh terus berada di bawah sambil hati berdoa, berharap agar mampu naik semula.
Dugaan datang dalam pelbagai bentuk dan seperti tahun lepas, banjir besar di banyak kawasan menyebabkan ramai terkesan, tertekan, terhimpit kehidupannya.
Artikel ini mengisahkan seorang peniaga pakaian terpakai yang rugi ratusan ribu ringgit apabila stok rayanya musnah namun berkat taubat, doa ibu bapa dan sedekah, perniagaannya kini kembali bernafas.
Berniaga di Taman Sri Muda, Shah Alam sejak 13 tahun lepas, Mohammad Jafri Abdul Manaf, 41, atau Jep tidak pernah terfikir The Pickers Bundle miliknya boleh lumpuh akibat banjir.
Pakaian di dalam kedai, habis rosak semuanya, stok Aidilfitri yang dikumpul sejak 2020, satu pun tidak dapat diselamatkan.
“Masa tu rasa menggigil, rasa nak pitam. Baru saya faham macam mana orang bila tengok rumah dia terbakar, dia pitam. Kita kata kau ni tiada iman, itu semua dunia.
“Tapi bila kita kena, apa yang kita kumpul 13 tahun dari sikit-sikit, kemudian hilang sekelip mata, perasaan dia rasa tak percaya. Betul ke aku kena lalui benda ini sebab ingat dah senang dah.
“Apa yang berlaku macam kiamat pada diri saya yakni kiamat harta, bukan kiamat nyawa.
“Saya tiada apa-apa, dia (Allah) bagi saya sebuah Nissan Navara, Mitsubishi Pajero yang saya yang buat cari besi dulu pun habis. Dia bagi tinggal baju, isteri dan anak, itu sajalah,” katanya kepada Astro AWANI.
Sebenarnya, bukan kali pertama Jep berdepan dugaan sebegitu kerana kira-kira 15 tahun lepas, dia pernah tersungkur dalam perniagaan malah pernah menjadi pengutip sampah.
Pada waktu itu, bapa kepada tiga anak ini mendekatkan diri kepada Yang Esa, bertaubat, memohon doa ibu bapa dan bersedekah walaupun diri sendiri tengah susah.
Sekali lagi ‘bencana’ menimpa, amalan itu diamalkannya kerana dia percaya, Allah adalah tempat bergantung segala harapan untuknya bangkit semula.
“Saya yakin (bangkit semula) kerana doa mak saya. Kedua, kerana saya mengaku salah kepada Allah. Tidak mengapa Ya Allah, ini adalah teguran Allah kepada aku.
“Tak apa, Allah tak salah, aku yang salah. Macam kita dengan bos, kita datang lewat, lepas itu bos potong gaji tapi kita masih pertahankan sikap kita, bagaimana bos nak bagi kita bonus.
“Sebab itu saya ambil pendekatan Allah tidak salah, aku yang salah,” ujarnya.
Sepanjang lebih satu jam bertemu, berulang kali Jep mengatakan apa yang berlaku pada diri dan perniagaannya itu bukanlah kerana kehebatannya namun kerana Allah dan tiga perkara.
Pertama, taubat. Kedua, doa ibu bapa dan ketiga, kehebatan sedekah dan kerana itu, selepas ini dia mahu menjadi insan bermanfaat untuk orang lain, tidak lagi fikirkan dirinya sendiri.
“Kalau Allah takdirkan kami boleh maju lebih daripada ini, saya nak bantu masyarakat. Rancangannya bukan ada pada kita lagi dah.
“Kalau dulu ya, kita lebih kepada nak kaya, nak senang tapi bila Allah tarik benda itu, tiada apa pun.
“Kalau Allah bagi balik, saya nak jadi orang bermanfaat dan nak bagi balik kepada orang sebab kita tahu macam mana rasa kehilangan,” katanya.
#taman sri muda #banjir #pakaian terpakai #bundle #shah alam #Aidilfitri #hari raya
;