Tatakelola baik penting untuk kerajaan jayakan pelaksanaan dasar - Amir Hamzah

Bernama
Januari 26, 2024 17:05 MYT
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada sidang media di Kementerian Kewangan hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Tatakelola yang baik adalah penting bagi Kerajaan Perpaduan untuk menjayakan pelaksanaan pelbagai dasar termasuk Ekonomi Madani, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata tindakan yang menjurus kepada ketirisan dan ketidakcekapan pastinya akan merugikan negara.
"Tatakelola (baik) yang ada menjadi penting dan dalam proses itu, menangani rasuah (juga) adalah penting untuk Malaysia," katanya dalam sidang media pertama sejak dilantik ke Kabinet pada 12 Dis tahun lepas, di sini hari ini.
Beliau berkata Kerajaan Perpaduan dalam tahun pertama pentadbirannya menumpukan soal merangka dan meletakkan hala tuju dan keutamaan negara, bagi tahun ini pula, usaha akan dibuat untuk menjayakan dasar yang telah dirancang.
Amir Hamzah berkata untuk itu, NIMP 2030 dan NETR, antara komponen utama kerangka Ekonomi MADANI akan dilaksanakan secara telus.
Beliau berkata selain itu, Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) juga telah diteliti agar perancangannya benar-benar sampai kepada rakyat seperti yang diharapkan kerajaan.
KSP RMK12, meliputi 17 anjakan sebagai pemangkin utama melalui 71 strategi dan inisiatif bagi menoktahkan kemiskinan tegar, menyelesaikan masalah asas prasarana dan keperluan asas rakyat termasuk membaiki sekolah dan klinik daif, menjamin bekalan air bersih serta meneraju ekonomi Islam.
-- BERNAMA
#Amir Hamzah Azizan #tatakelola #Kerajaan Perpaduan #Menteri Kewangan II #Rasuah
;