Taska wajib pamer nombor pendaftaran di premis tahun depan - Nancy
Bernama
Disember 8, 2024 09:30 MYT
Disember 8, 2024 09:30 MYT
KUCHING: Semua taman asuhan kanak-kanak (taska) berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diwajibkan memaparkan plak nombor pendaftaran di premis masing-masing, berkuat kuasa 1 Jan tahun depan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata langkah itu diambil bagi memberikan keyakinan kepada ibu bapa terhadap status lesen taska yang menempatkan anak-anak mereka.
“Kementerian saya sering menerima soalan berhubung taska tidak berdaftar dan bagaimana cara mengenal pasti jika mereka tidak pernah memohon lesen daripada JKM.
“Mulai sekarang, semua taska diwajibkan menampal nombor pendaftaran di dinding premis supaya ibu bapa tahu taska tersebut berdaftar,” katanya dalam sesi sembang santai sempena Malam Media Sarawak, malam tadi.
Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara agenda utama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi 2025.
Nancy berkata agenda lain bagi tahun seterusnya termasuk menggerakkan inisiatif Bantuan Yuran Pembelajaran Anak Autisme serta pembangunan Pusat Perkhidmatan Autisme, masing-masing diperuntukkan RM15 juta dan RM5 juta.
“Perdana Menteri telah mengumumkan perkara ini dalam Belanjawan 2025. Ia merupakan inisiatif baharu untuk menjaga kebajikan anak autisti dengan pendekatan lebih fokus melalui intervensi awal, tanpa meletakkan mereka bersama anak-anak bukan autistik,” katanya.
Nancy, yang juga Ahli Parlimen Santubong, turut memaklumkan sejumlah RM5.6 juta diperuntukkan bagi tahun ini untuk pelaksanaan projek pembangunan di kawasan Parlimennya.
Menurutnya, peruntukan itu melibatkan projek pembinaan Jalan Perhubungan Desa (JPD) sebanyak RM3.17 juta, Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bernilai RM500,000, dan Projek Mesra Rakyat (PMR) berjumlah RM967,000.
-- BERNAMA