Taska, tadika di zon merah dan kuning di Sarawak dibenar beroperasi

Syafik Shukri Jalil
November 22, 2020 19:47 MYT
Antara lain Sarawak hari ini tidak mencatat pertambahan kes positif COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan kekal 1055 kes. - Foto Astro AWANI
KUCHING: Taska dan tadika yang berada di zon merah dan kuning di Sarawak dibenarkan beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Kementerian Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak (KWKPK).
Bagaimanapun, pihak operator mesti bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pematuhan SOP yang ditetapkan.
Perkara itu diumumkan Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing menerusi sidang media harian COVID-19 di Kuching pada Ahad.
“Bagi tujuan rekod dan pemantauan, pihak taska dan tadika wajib memaklumkan kepada KKWKPK sebelum memulakan operasi,” kata Masing.
Antara lain Sarawak hari ini tidak mencatat pertambahan kes positif COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan kekal 1,055 kes.
Manakala lima kes dilaporkan pulih dan discaj melibatkan tiga kes dari Hospital Umum Sarawak (HUS) dan dua dari Hospital Miri.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 yang pulih dan discaj setakat ini kepada 977 kes atau 92.61 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif di negeri itu.
Selain itu, enam kluster dilaporkan masih aktif melibatkan Kluster Abell, Kluster Besi, Kluster Seladah, Kluster Baki, Kluster Greenhill dan Kluster Wisma Saberkas.
#COVID-19 #kes baharu COVID-19 di Sarawak #kluster aktif di Sarawak #operasi taska zon merah dan kuning #JPBN Sarawak #Sarawak #prosedur operasi standard
;