'Task force' atasi isu kesesakan trafik Kuala Lumpur

Sinar Harian
Jun 21, 2022 06:45 MYT
Pasukan Task Force Kesesakan Jalan Raya dibentuk bagi mengatasi masalah trafik di ibu kota yang meningkat sebanyak 45 peratus selepas kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.(Gambar hiasan) - Gambar kecil: Jalaluddin Alias
KUALA LUMPUR: Pasukan Task Force Kesesakan Jalan Raya dibentuk bagi mengatasi masalah trafik di ibu kota yang meningkat sebanyak 45 peratus selepas kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, sebanyak 46.76 juta kenderaan dicatatkan dalam tempoh sebulan pada Disember tahun lalu berbanding 26.51 juta pada Disember 2019.
Menurutnya, beberapa masalah lain dikesan punca berlaku kesesakan antaranya halangan disebabkan kemalangan, pembinaan lebuh raya konsesi, jalan mendap, kerosakan lampu isyarat selain penutupan dan lencongan jalan disebabkan projek pembangunan.
"Bagi penyelesaian jangka sederhana, pasukan task force mengambil keputusan untuk melarang kenderaan parkir di bahu jalan semasa waktu puncak (pagi dan petang) serta akan membatalkan kemudahan petak parkir di jalan-jalan utama secara berperingkat.
"Selain itu, larangan penjaja di bahu jalan semasa waktu puncak juga akan dikuat kuasa serta membatalkan petak penjaja di bahu jalan-jalan utama," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa
Beliau yang mempengerusikan pasukan task force itu berkata, papan tanda berkaitan lalu lintas, peraturan keselamatan jalan raya serta larangan kenderaan berhenti di petak kuning persimpangan akan ditambah baik.
Katanya, enam cadangan pelan jangka masa panjang dikemukakan bagi mengatasi masalah kesesakan trafik di Kuala Lumpur termasuk tambah baik jajaran perkhidmatan semua pengangkutan awam dan kempen naik pengangkutan awam.
Turut difokuskan adalah integrasi antara konsesi lebuh raya dan penyuraian trafik yang lebih berkesan, penambahan infrastruktur sokongan seperti 'pedestrian friendly dan kuat kuasa laluan bas di pusat bandar.
Tambahnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga sedang melaksanakan kajian secara teliti terhadap sistem lampu isyarat di Kuala Lumpur dan pesisir kota agar pergerakan trafik menjadi lebih selari dan berkesan.
"Bagi memastikan pasukan ini mampu melestarikan hasrat mengurangkan kadar kesesakan, DBKL akan melibatkan pakar-pakar akademik dari institusi awam dan swasta agar dapatan kepada kajian-kajian yang dijalankan dapat diimplementasi dan diselaraskan penggunaannya di Kuala Lumpur.
"Secara dasarnya, Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL akan pastikan tindakan penguatkuasaan trafik akan digerakkan secara drastik dan konsisten dengan serta merta bagi memastikan beberapa punca kepada kesesakan jalan raya dapat diatasi segera," katanya.
Beliau turut menasihati pengguna jalan raya yang memasuki Kuala Lumpur untuk peka kepada arahan lalu lintas pihak polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), DBKL serta lain-lain agensi demi keharmonian dan keselamatan bersama.
*Berita asal disiarkan di Sinar Harian
#Task Force Kesesakan Jalan Raya #masalah trafik di ibu kota #jalaluddin alias #penyuraian trafik
;