Tasik Kenyir sepi tanpa pelancong, pengusaha rumah bot runsing
Nur Fazlizai Ali
Jun 26, 2021 08:41 MYT
Jun 26, 2021 08:41 MYT
HULU TERENGGANU: Jika sebelum ini Tasik Kenyir antara lokasi yang tidak sunyi daripada menerima kehadiran pelancong, khususnya buat kaki pancing.
Kawasan berkenaan turut bagaikan syurga buat mereka yang gemarkan aktiviti tersebut.
Kebanyakan pemancing memasuki Tasik Kenyir akan menyewa perkhidmatan rumah bot yang kebanyakannya berpengkalan di Pengkalan Gawi.
Namun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh dilaksanakan, industri pelancongan di tasik buatan manusia di Asia Tenggara itu lumpuh.
Penggiat dan pekerja rumah bot yang ditemui mengeluh dan resah memikirkan nasib yang akan dilalui mereka jika PKP terus disambung dan sektor pelancongan tempatan masih tidak dapat beroperasi.
Menurut mereka, sebelum ini lazimnya setiap bulan rumah bot mereka pasti menerima tempahan, namun kini pendapatan mereka lansung tiada.
Selain itu mereka juga perlu memikirkan nasib para pekerja yang turut mempunyai tanggungjawab dan komitmen untuk menyara keluarga dan sebagainya.
"Sebelum ini dalam sebelum akan ada antara lima hingga enam tempahan rumah bot, tetapi selepas PKP dilaksanakan, tiada tempahan langsung.
"Kami berharap pihak kerajaan akan membuat kelonggaran untuk sektor pelancongan ini," kata pengusaha rumah bot, Yusri Hanis Yusof.
Perkara yang sama disuarakan pekerja rumah bot, Mohd Adika Iskandar Zul Anuar yang menyatakan prosedur operasi standard (SOP) ketat harus menjadi keutamaan.
"Sekurang-kurangnya pendapatan kami tidak terjejas ekoran penutupan sektor pelancongan ini," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Datuk Rozi Mamat berkata kebanyakan pengusaha rumah bot berkenaan agak tenat dan diharap satu langkah dapat diambil bagi membantu mereka yang terkesan baik daripada segi pinjaman mahupun sebaliknya.
Katanya bukan sahaja kepada pengusaha bot terjejas, malahan kepada para pekerja diatas rumah bot yang juga terputus sumber pendapatan.
"Saya sangat berharap peruntukan khusus akan diberikan kepada pengusaha dan pekerja rumah bot ini.
"Mereka juga ada tanggungjawab kepada keluarga masing-masing," jelasnya.
Setakat ini terdapat lebih 80 pengusaha rumah bot, kebanyakannya terdiri daripada penduduk tempatan yang mengetahui selok-belok lubuk memancing di Tasik Kenyir.
Tasik Kenyir yang terkenal sebagai lubuk ikan air tawar akan menjadi tumpuan dalam kalangan kaki pancing terutamanya pada musim tengkujuh.