Tasik Kenyir bakal tawarkan pakej percutian mewah penginapan rumah bot moden
Nur Fazlizai Ali
April 29, 2022 07:30 MYT
April 29, 2022 07:30 MYT
HULU TERENGGANU: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) akan memperkukuhkan lagi nama Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan utama dengan menawarkan pelbagai pilihan pakej percutian.
Pengerusinya Datuk Razali Idris berkata, Ketengah bakal menjadi perintis kepada pakej pelancongan mewah menggunakan rumah bot yang moden dan eksklusif di Tasik Kenyir dalam tempoh dua tahun lagi.
Menurut Razali, perkhidmatan berkenaan menawarkan percutian lebih privasi di atas rumah bot yang dilengkapi kemudahan dan hiasan dalaman bertaraf hotel lima bintang.
"Terengganu mempunyai kepakaran tersebut. Yang kedua, peluang untuk menghantar rumah bot itu. Kalau besar, tak boleh ikut jalan raya, kerana terlalu sempit.
"Jadi, banyak perkara yang kita kena kaji untuk kita buat bot mewah ini. Tetapi Ketengah Holding berhasrat dan kita menghala ke arah untuk membina satu rumah bot mewah," katanya.
Sementara itu, bekas timbalan pengerusi Persatuan Pelancongan Terenganu, Alex Lee Yun Ping berkata, penggiat pelancongan turut memainkan peranan dalam mempromosi produk pelancongan baharu di tasik berkenaan.
"Kita rasa, ada dua produk baharu yang patut kita tonjolkan. Santuari kelah dan pokok melunak.
"Pokok melunak ini memerlukan 27 lilitan tangan manusia. Ia merupakan pokok melunak terbesar di Malaysia, yang pernah kita jumpa. Mungkin juga terbesar di dunia, kita tak tahu. Ia berusia lebih kurang 430 tahun," katanya.
Alex berkata, usaha juga perlu diperkasakan bagi menarik lebih ramai peminat aktiviti lasak berkonsepkan keluarga untuk menelusuri produk pelancongan utama di Tasik Kenyir.