Tasik Chini tawar pelancongan berasaskan pendidikan

Bernama
Jun 23, 2024 04:00 MYT
Leong berkata, pengunjung boleh mendapatkan kemudahan disediakan di Tasik Chini menerusi pakej dan aktiviti berasaskan pendidikan. - Gambar fail/ALAF - UKM
PEKAN: Destinasi pelancongan alam semula jadi Tasik Chini di sini yang terjejas suatu ketika dahulu kini sedia menerima lebih ramai pengunjung menerusi penawaran pakej pelancongan berasaskan pendidikan (edu-tourism).
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang Leong Yu Man berkata beberapa pakej pelancongan ditawarkan menerusi Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) yang menyasarkan pengunjung terdiri pelajar sekolah dan universiti.
Di samping pelaksanaan pelan pembangunan Tasik Chini yang dijangka siap pada Oktober, beliau berkata promosi pelancongan berasaskan pendidikan ini dilaksanakan bagi mengembalikan kegemilangan Tasik Chini yang pernah popular dalam kalangan pelancong tempatan dan luar negara.
"Pengunjung boleh mendapatkan kemudahan disediakan di sini menerusi pakej dan aktiviti berasaskan pendidikan. Kita galakkan pihak universiti dan sekolah adakan program di sini untuk belajar tentang alam semula jadi dan melihat keunikan yang ada," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Libat Urus: Penyediaan Pelan Pembangunan Pengurusan Tasik Chini Rizab Biosfera anjuran Perbadanan Taman Negeri Pahang yang disertai 18 agensi dan empat perkampungan Orang Asli di PPTC di sini semalam.
Antara aktiviti tersedia termasuk pengunjung akan didedahkan dengan gaya hidup dan budaya orang asal, alam semula jadi seperti tumbuhan serta haiwan sekitar pusat pelancongan itu selain pengetahuan mengenai pengurusan dan keselamatan dalam air.
Leong berkata pihaknya sentiasa berusaha untuk merancakkan lagi destinasi pelancongan berkenaan antara lain dilihat dapat membantu menjana pendapatan penduduk setempat.
-- BERNAMA
#pelancongan #Tasik Chini #pelan pembangunan #pendidikan
;