Tasik Cermin 'banjir': Tutup sementara jika bahaya kepada pengunjung - Exco

Aida Aziz
Mac 14, 2022 16:54 MYT
Kawasan pelantar di Tasik Cermin dinaiki air sejak Khamis lalu. - Gambar/ Astro AWANI
IPOH: Notis penutupan sementara kawasan tumpuan pengunjung, Tasik Cermin di Gunung Rapat di sini, akan dikeluarkan sekiranya paras air di tasik itu meningkat susulan hujan lebat kebelakangan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) juga perlu mengawasi operator yang dilantik, bagi memastikan keselamatan pengunjung terjamin.
"Saya akan mengesyorkan kepada MBI agar operator mengeluarkan notis tidak selamat untuk dilawati.
"Kalau keadaan tidak selamat seperti adanya bencana sudah tentulah akan dikeluarkan notis penutupan sementara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu paras air meningkat di Tasik Cermin sehingga menenggelamkan lantai pelantar.
Nolee Ashilin ditemui pemberita ketika hadir sidang media Pangkor International Marine Tourism Conference 2022 (PIMTC 22) di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau berkata aspek pemantauan dan pengawasan antara kriteria utama yang dititikberatkan bagi sesebuah kawasan pelancongan.
"Kita sudah melantik satu badan pengurusan daripada pihak operator yang akan bertanggungjawab dalam segala aspek termasuk keselamatan.
"Jadi, aspek keselamatan antara perkara yang diteliti apabila kita membuka produk baharu pelancongan," katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah Pembangunan Pelancongan Tasik Cermin Eco Park Ipoh, Siti Norlizawati Narawi ketika dihubungi berkata, kawasan pelantar itu sudah dinaiki air sejak Khamis lalu.
"Kami tutup kepada pengunjung pada hari Khamis, bagaimanapun dibuka semula pada Jumaat susulan air yang sudah surut.
"Kawasan ini akan ditutup sekiranya hujan lebat dan paras air meningkat semula dan berbahaya untuk dikunjungi," katanya.
#Tasik Cermin #Gunung Rapat #tasik cermin banjir #Ipoh
;