Tarikh PRK Besut diserahkan kepada SPR - MB Terengganu

Astro Awani
Jun 27, 2013 10:32 MYT
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh pilihan raya berikutan kematian ADUN Besut itu.
“Ini merupakan peraturan undang-undang sedia ada... bila berlaku kekosongan, pilihan raya kecil hendaklah dibuat...itu jelas.
“Pilihan raya akan diadakan, SPR lah akan tentukan...ini adalah peraturan sedia ada. Terserah kepada SPR,” kata Ahmad Said.
Jika SPR mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat, kemungkinan besar pilihan raya itu diadakan pada bulan ramadan memandangkan umat islam dijangka mula berpuasa pada 10 julai dan syawal dijangka disambut pada 8 atau 9 ogos.
Dalam pada itu pemergian Allahyarham Dr A Rahman Mokhtar yang memegang jawatan Exco Terengganu sejak 2008 disifatkan satu kehilangan besar kepada pemimpin Umno di Terengganu.
Sebagai anak Besut kelahiran pulau perhentian yang pertama berjaya menjadi doktor, beliau juga adalah seorang Anggota Dewan Undangan Negeri yang tabah menangani pelbagai masalah rakyat.
Sementara itu, Menteri Pelajaran dan Pendidikan Tinggi II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata tempat Allahyarham Dr Rahman akan digantikan sebaik-baiknya.
“Insya-Allah... oleh itu kita akan pastikan bahawa tempatnya, tugasnya yang telah dilaksanakan olehnya terdahulu itu akan digantikan dengan sebaik baiknya,” kata beliau.
ADUN Jabi, Iskandar Jaafar pula memberitahu, Allahyarham Dr Rahman telah berikhidmat bukan sahaja kepada penduduk daerah Besut dan DUN Kuala Besut tetapi juga kepada seluruh negeri Terengganu.
#Besut #dr rahman mokhtar #pilihan raya kecil #SPR #terengganu