Tarikh penyertaan HKM 2024 dilanjutkan hingga 7 Feb

Bernama
Januari 17, 2025 22:53 MYT
Presiden Malaysian Press Institute (MPI) Datuk Yong Soo Heong mengumumkan perkara itu pada suatu sesi taklimat secara dalam talian hari ini. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Tarikh akhir penghantaran penyertaan untuk Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2024 (HKM 2024) dilanjutkan hingga 7 Feb ini.
Presiden Malaysian Press Institute (MPI) Datuk Yong Soo Heong mengumumkan perkara itu pada suatu sesi taklimat secara dalam talian hari ini.
Taklimat yang julung kali diadakan itu dibahagikan kepada beberapa segmen meliputi media cetak dan portal dalam talian, media elektronik (TV dan radio), foto serta infografik, bagi memenuhi permintaan pengamal media untuk mendapatkan pencerahan lebih terperinci antaranya mengenai syarat penyertaan, kategori pertandingan, kaedah penyusunan bahan serta pemilihan kategori bersesuaian.
Ketua Pegawai Eksekutif MPI Ainol Amriz dalam kenyataan merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam proses perbincangan dan penambahbaikan syarat-syarat HKM.
Beliau turut menyatakan harapan agar tahun ini menyaksikan peningkatan penyertaan berkualiti daripada karyawan media.
"HKM adalah platform terbaik untuk meraikan komitmen pengamal media serta profesionalisme kewartawanan di Malaysia. Kami berharap para pengamal media memanfaatkan peluang ini untuk mengetengahkan hasil karya mereka," katanya.
-- BERNAMA
#HKM 2024 #tarikh akhir penyertaan #dilanjutkan #malaysian press institute #MPI
;