Tarikh lihat anak bulan Syawal 20 April

Sinar Harian
April 10, 2023 10:55 MYT
Tarikh bagi melihat anak bulan Syawal bagi tahun ini ditetapkan pada petang Khamis, 20 April 2023 bersamaan 29 Ramadan 1444 Hijriah. - Gambar fail
SHAH ALAM: Tarikh bagi melihat anak bulan Syawal bagi tahun ini ditetapkan pada petang Khamis, 20 April 2023 bersamaan 29 Ramadan 1444 Hijriah dan pengisytiharan tarikh Hari Raya Puasa akan diumumkan pada malam berkenaan.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, Majlis Raja-raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.
“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, mengisytiharkan bahawa tarikh bagi melihat anak bulan Syawal ialah pada petang Khamis, 20 April 2023 Masehi bersamaan 29 Ramadan 1444 Hijriah.
“Majlis Raja-raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab. Penyimpan Mohor Besar Raja-raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh Hari Raya Puasa yang ditetapkan melalui Radio dan Televisyen,” katanya pada Isnin.
Menurutnya, jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan telah diperkenankan melihat anak bulan Syawal pada petang Khamis di 29 lokasi seluruh negara.
Ia adalah Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat; Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam, Selangor; Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Daerah Manjong, Perak dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.
Lokasi lain adalah Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi; Menara Alor Setar, Alor Setar, Kedah; Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut; Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu, Terengganu; Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampong Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai dan Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putra Semerak, Kota Bharu, Kelantan.
Turut sama, Pusat Falak Miri; Teluk Bandung, Kuching; Tanjung Batu, Bintulu, Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, Sabah; Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Berincang, Cameron Highlands; Bukit Pelindong, Kuantan, Pahang; Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur, Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Putrajaya dan Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis. - Sinar Harian
#anak bulan #anak bulan Syawal #Hari Raya Aidilfitri #Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia
;