Tarikh kutipan tol LPT2 ditunda

Bernama
Ogos 20, 2015 19:42 MYT
Kemungkinan sistem kutipan tol di lebuh raya sepanjang 184km itu akan dilaksanakan menjelang akhir tahun ini. - Gambar Hiasan
Kutipan tol di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang dijadual bermula September ini terpaksa ditunda atas beberapa faktor termasuk kerja-kerja penyelenggaraan masih berjalan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan kemudahan Awam Negeri, Ir Rosli Othman berkata kemungkinan sistem kutipan tol di lebuh raya sepanjang 184km itu akan dilaksanakan menjelang akhir tahun ini.
Beliau berkata kerajaan negeri masih menunggu tarikh pelaksanaan sistem kutipan tol daripada Kementerian Kerja Raya.
LPT2 yang dibina dengan harga RM3.7 bilion itu dibuka secara percuma kepada lalu lintas sejak 31 Dis tahun lepas.
"Memandangkan kerja-kerja menaiktaraf beberapa laluan di sepanjang lebuh raya itu sedang berjalan, maka berkemungkinan besar sistem kutipan tol akan berjalan akhir tahun ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri Terengganu yang dirasmikan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Mohd Zubir Embong.
Mengenai pencerobohan ternakan yang sering berlaku di LPT2, beliau berkata kerja-kerja membaiki pagar yang rosak telah dijalankan dari semasa ke semasa.
"Bagi menghalang pencerobohan binatang di kawasan LPT2, kita akan tambah pagar kawat berduri selain meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berdekatan seperti PBT Marang dan Hulu Terengganu untuk menjalankan penguatkuasaan terhadap binatang ternakan yang berkeliaran memasuki kawasan LPT2 itu," katanya.
Mengenai dakwaan kemalangan yang sering berlaku di LPT2, Rosli berkata ia bukan disebabkan jalan yang tidak rata atau rosak.
"LPT2 merupakan lebuh raya baharu dan kebanyakkan pemandu belum biasa dengan jalan berkenaan, ada pemandu yang memandu terlalu laju dan ada juga mengantuk semasa memandu sehingga menyebabkan kemalangan," katanya.
#Kelantan #Lebuhraya Pantai Timur Dua #LPT2 #Rosli Othman #terengganu
;