Tarikh bicara pegawai TUDM yang ditahan di AS ditunda

Aizat Sharif
April 22, 2014 17:02 MYT
Pistol PT-22 Taurus - Gambar Fail
Pegawai Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) yang berpangkat Mejar yang ditahan di lapangan terbang San Angelo, Texas, Amerika Syarikat 16 April lalu telah dipindahkan dari Penjara Taylor County, Texas ke Penjara Lubbock County, Texas semalam.
Dalam satu kenyataan media dari Markas Tentera Udara, Kementerian Pertahanan Malaysia, suspek yang sebelum ini dijadualkan untuk dibicarakan di mahkamah semalam telah ditunda tarikh perbicaraannya ke satu tarikh baru yang akan ditetapkan kelak oleh pihak Mahkamah Lubbock di texas.
“Suspek pada awalnya bakal berhadapan dengan empat pertuduhan oleh pihak pendakwa kini hanya akan dipertuduhkan atas satu kesalahan sahaja iaitu pemilikan senjata dan/atau peluru oleh seorang yang bukan imigran atau ‘a non-immigrant in possession of a weapon and/or ammunition,”.
Dalam masa yang sama juga TUDM kini menumpukan perhatian dalam kebajikan keluarga suspek dalam menghadapi situasi yang sukar sekarang ini.
Sementara itu, Pejabat Atase Pertahanan Malaysia di Washington sedang memantau perkembangan kes tersebut dengan teliti dan akan memaklumkan setiap perkembangan kes pegawai berkenaan kepada pihak Kementerian Pertahanan bagi tindakan selanjutnya.
Pada 16 April lalu, pegawai TUDM itu telah ditahan kerana disyaki cuba menyeludup senjata api ke Kuala Lumpur.
Suspek ditahan setelah bagasinya itu diperiksa melalui imbasan x-ray, ia didapati bahawa terdapat suatu objek yang menghalang visual kesemua barang di dalam beg tersebut.
Ia dilaporkan bahawa selepas beg itu dibuka, sepucuk pistol kaliber PT- 22, .22 bersama kelopak berisi lapan butir peluru jenis .22 caliber ditemui.
Suspek yang sudah menaiki pesawat, kemudiannya diiring keluar oleh pihak polis untuk siasatan berhubung penemuan senjata tersebut.
Dia kemudian mengaku menyembunyikan senjata api tersebut supaya kerajaan Malaysia tidak akan menemuinya apabila dia tiba di Malaysia.
Ia dilaporkan bahawa pegawai itu dijadualkan untuk terbang dari lapangan Terbang Mathis Field di San Angelo ke Kuala Lumpur.
#Amerika Syarikat #penjara #senjata #TUDM
;