Tarikh akhir hantar borang BNCP melalui E-Filing dilanjut sehingga 15 Julai - LHDN

Bernama
Jun 30, 2014 20:58 MYT
LHDN: Sebanyak 280,377 Borang B tahun taksiran 2013 telah diterima melalui e-Filling.
Tarikh akhir bagi individu, yang mempunyai pendapatan berpunca daripada perniagaan, menghantar Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) tahun taksiran 2013 dilanjutkan sehingga 15 Julai ini.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan di sini hari ini, berkata, pelanjutan tarikh itu bagaimanapun adalah bagi mereka yang mengisi borang borang B, BT, M dan MT secara e-Filing dan yang ingin membuat bayaran baki cukai sahaja.
"Bagi pembayar cukai yang memilih untuk menggunakan kaedah penghantaran BNCP melalui borang kertas, tarikh akhir penghantarannya ialah kekal pada 30 Jun 2014," menurut kenyataan itu.
LHDN berkata sehingga semalam, sebanyak 280,377 Borang B tahun taksiran 2013 telah diterima melalui e-Filling iaitu meningkat sebanyak 10.94% berbanding tempoh yang sama tahun lepas iaitu 252,725 borang.
Sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari portal rasmi LHDN di www.hasil.gov.my atau hubungi Pusat Panggilan di talian 1-800-88-5436.
#BNCP #Borang Nyata Cukai Pendapatan #e-filing #Lembaga Hasil Dalam Negeri #LHDN
;