Tarikh 31 Januari beri makna besar buat Raja Permaisuri Agong
Astro Awani
Januari 31, 2024 23:27 MYT
Januari 31, 2024 23:27 MYT
KUALA LUMPUR: Tarikh 31 Januari menjadi detik yang cukup besar buat Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Di sebalik pembukaan lembaran baharu bagi Sultan Ibrahim yang mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada tarikh tersebut, 31 Januari juga membawa kenangan sedih bagi Raja Zarith.
Menerusi kenyataan dimuat naik di laman Instagram Officialsultanibrahim, Raja Zarith kehilangan ayahanda tercintanya, Almarhum Sultan Perak, Sultan Idris Shah II pada 31 Januari 1984.
“Ketika kemangkatan Almarhum, saya mengandung empat bulan anak pertama saya iaitu Tunku (Mahkota) Ismail dan waktu itu terasa sangat sukar bagi saya.
"Saya sedih ayahanda saya tidak sempat berjumpa dengan anak sulung saya,” titah Seri Paduka Baginda dalam kemas kini tersebut.
Kenyataan tersebut menambah, ketika Seri Paduka Baginda berdua memulakan tanggungjawab baharu kepada negara, kenangan kepada Almarhum Sultan Idris Shah II tidak dilupakan.
Menerusi kemas kini sama, beberapa keping gambar turut dikongsi antaranya memaparkan Raja Permaisuri Agong bersama Almarhum Sultan Idris Shah II semasa menerima ijazah pada majlis graduasi di Universiti Oxford.
"Ia merupakan kali terakhir Seri Paduka Baginda bertemu Almarhum ayahanda baginda," tambah kenyataan itu.
Sultan Ibrahim hari ini melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara.
Turut melafaz sumpah memegang jawatan hari ini ialah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.