Tarikan unik dan interaktif, Muzium Budaya Borneo bakal curi tumpuan pelancong
Azizah Alwi
Februari 16, 2022 15:10 MYT
Februari 16, 2022 15:10 MYT
KUCHING: Muzium Budaya Borneo akan dirasmikan pembukaannya pada Mac tahun ini setelah hampir dua tahun tertangguh akibat pandemik.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perasmian Muzium Budaya Borneo itu kelak akan menjadi tarikan utama buat para pengunjung untuk datang melawat ke Sarawak bagi mempelajari dan memahami dengan lebih mendalam berkenaan dengan adat serta budaya suku kaum yang terdapat di Sarawak.
“Bangunan ikonik seperti Muzium Budaya Sarawak yang akan dirasmikan pada Mac tahun ini oleh Tun Abdul Taib Mahmud ini akan menggerakkan lagi industri pelancongan.
“Selain daripada Kampung Budaya Sarawak, kita ada tarikan terbaharu seperti Muzium Budaya Sarawak untuk menarik lebih ramai pelancong datang singgah ke Sarawak,” ujarnya ketika ditemui oleh Astro AWANI di kediamannya di Kuching pada Selasa.
Antara tarikan utama Muzium Budaya Borneo adalah Floor of Desire, Painted Caves, Sarawak in Motion dan banyak lagi.
“Apabila dibuka kelak, bangunan yang berkelas dunia ini bakal menjadi muzium terbesar di Malaysia dan Borneo dan akan menjadi muzium kedua terbesar di Asia Tenggara selepas Singapore National Museum,” ujarnya.
Selain itu, muzium itu juga akan menerapkan aspek interaktif dan penggunaan teknologi maklumat terkini bagi memberi impak yang lebih mendalam.
“Sebagai contoh, bila kita imbas (kod) kita akan dapat lihat bagaimana orang menenun daripada telefon pintar kita. Muzium itu agak canggih.
“Sesiapa yang berkunjung ke sana sudah tentu akan membawa balik pengalaman baharu dan ia pasti akan diceritakan kepada penduduk setempat.
“Memang berbeza daripada muzium Sarawak sebelum ini," ujarnya.